PASUKAN Astana bakal menggegarkan LTdL 2015.
GUARDINI (kiri) mula karier profesional di Langkawi.
Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 akan terus rancak dan sengit apabila Astana mengesahkan pelumba sensasi Itali, Andrea Guardini akan tampil pada saingan edisi ke-20 pada 8 hingga 14 Mac.

Guardini, 25, juara terbanyak LTdL dengan 14 peringkat perlumbaan bermula 2011 selain bergelar Raja Pecut edisi 2011 dan 2012. Malah, dia pernah memegang rekod memenangi empat peringkat perlumbaan dalam satu edisi.

Pelumba Astana itu antara pakar pecut dihormati dengan beberapa kemenangan dalam kalendar World Tour, Giro d’Italia dan Eneco Tour.

“Saya tidak dapat melupakan saat memulakan karier profesional di Langkawi dan meraih kemenangan pertama pada hari pertama di Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan merujuk kemenangan edisi 2011 itu.

Malah, Guardini tidak sabar menanti saingan lapan peringkat LTdL kali ini walaupun menyedari saingan pasti bertambah sukar buat dirinya.

“Saya sedar kualiti Caleb Ewan (Southeast) dan Jakub Mareczko. Mareczko seorang pakar pecut yang bagus apabila menang dua peringkat Vuelta Tachira di Venezuela bulan lalu,” katanya.

Malah, Ewan yang bersama pasukan Orica GreenEdge membuktikan kemampuan apabila meraih dua kemenangan peringkat perlumbaan di Herald Sun Tour.

Lima lagi pelumba yang melengkapkan pasukan Pro Tour dari Kazakhstan adalah Aleksandr Dyachenko, Miguel Angel Lopez, Daniil Fominykh, Maxat Ayazbayev dan Arman Kamyyshev.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 2015 Datuk Malik Mydin berkata, pasukan itu satu-satunya berstatus Pro Tour dari Asia, sekali gus kehadirannya amat bersesuaian dengan falsafah pasukan untuk menjadi jambatan penghubung Eropah dan Asia menerusi sukan berbasikal.

“Ia pasukan yang berjaya di Tour de France menerusi Vincenzo Nibali pada tahun lalu dan mereka akan kembali ke Malaysia dengan barisan yang amat kita kagumi. Mereka mempunyai pakar pecut handalan, pakar pendakian berpotensi dan empat pelumba Kazakhstan termasuk Dyachenko yang menduduki tempat keempat keseluruhan dan menjuarai klasifikasi pelumba terbaik Asia tiga tahun lalu. Mereka pasukan pilihan bagi klasifikasi Asia tahun ini,” kata Malik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Februari 2015 @ 7:40 AM