Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my


Putrajaya: Pembangunan Indeks Syariah Malaysia adalah satu usaha kerajaan untuk menambahbaik pentadbiran melalui Maqasid Syariah, sekali gus menunjukkan ketelusan untuk memperkasa lapan bidang utama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, bidang utama itu adalah perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

"Pembangunan indeks ini amat penting untuk negara bukan sekadar meninggikan syiar dan syariat semata-mata, bukan juga sekadar untuk membangunkan ekonomi serta bangsa.

"Tetapi ia mencakupi kemajuan setiap sektor; bidang dan komponen yang membentuk sesebuah negara yang maju dan progresif, kerana itulah perlu dibangunkan indeks ini sebagai pelengkap kepada cita-cita mencapai status negara maju berpendapatan tinggi," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara 2015 dan pelancaran Indeks Syariah Malaysia di sini, hari ini.

Najib turut mengumumkan lima langkah utama supaya pelaksanaan dan pemantau terhadap indeks ini berjalan dengan sistematik dan lebih efektif.

Antaranya adalah menubuhkan jawatankuasa khas dikenali Panel Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia yang berfungsi sebagai badan pelaksana dan pemantau.

Langkah lain adalah mengadakan program pencerahan dan penerangan mengenai indeks ini supaya masyarakat tidak dipengaruhi persepsi kurang tepat.

"Memulakan kajian untuk menilai persepsi masyarakat serta tahap kepuasan terhadap darjah kepatuhan syariah dalam dasar dan program serta mengadakan program penjanaan idea bersama pihak berkepentingan.

"Kelima, melaksanakan usaha bersama kementerian dan agensi berkaitan supaya prestasi mereka dapat dinilai sama ada menepati tuntutan Maqasid Syariah sama seperti kerajaan menyemak pencapaian Indikator Prestasi Utama (KPI) setiap kementerian dan agensi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 12:51 PM