RIBUAN peminat berpuas hati dengan persembahan Taeyang.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Figura muzik ini sudah lama dinantikan terutama peminat setia kumpulan K-Pop terkemuka, Big Bang.

Anggota Big Bang yang tampil dengan album solo, Rise tahun lalu ini sememangnya dinantikan peminat yang mahu melihat dia menakluk pentas secara solo pula.

Taeyang, 28, atau nama sebenarnya Dong Young-bae meraih jutaan peminat di seluruh dunia termasuk Malaysia. Apa yang pasti, dia layak sebagai ikon muzik dengan kelasnya tersendiri.

Semua itu terbukti menerusi konsert Taeyang Rise In Malaysia 2015 di Stadium Negara, Kuala Lumpur, Sabtu lalu yang dihadiri lebih 9,000 peminat setia penyanyi dari Seoul, Korea Selatan itu.

Aksi mantap Taeyang pastinya berbaloi buat peminat di sini, sekali gus menjadi kenangan indah buat mereka.

Apapun, di sebalik penantian peminat, kemenangan itu pastinya lebih dirasai penyanyi Eyes, Nose, Lips itu apabila lebih empat tahun menanti detik berkenaan.

Dalam tempoh itu, dia sebenarnya kurang pasti adakah impian peribadinya tertunai mahupun menjadi malap.

Cukup menyentuh hati begitulah diakui Taeyang menerusi ucapan selingannya yang mencetuskan saat penuh emosi buatnya. Dia menyifatkan penantian itu satu rahmat, apa lagi peminat juga tidak putus-putus mendorongnya.

“Empat tahun saya menunggu saat di pentas ini. Sepanjang proses rakaman album solo saya itu, setiap saat saya berangan-angan untuk berada di sini, di hadapan kamu semua.

“Kamu sukakan lagu-lagu saya dalam album Rise? Kamu suka? Kamu pasti akan dengar lagu-lagu berkenaan malam ini!” katanya yang sempat melayangkan ‘flying kiss’ kepada penonton.

Jelas pada raut wajahnya satu kelegaan. Mana tidaknya anggota Big Bang lain terutama G-Dragon sudah jauh meninggalkannya selepas mencipta legasi solo tersendiri. Tentu sekali, dia pun mahu mengikut jejak sahabat karibnya itu.

Mengenali Taeyang, penyanyi itu memang sukar digugat jika mahu bercerita mengenai tenaga, tarian dan penguasaan pentasnya. Untuk melihatnya ‘semput’ di atas pentas, nyata sama sekali bukan ketika dia beraksi di atas pentas.

Selama lebih dua jam, Taeyang berjaya menunjukkan dia penyanyi hebat. Biarpun lincah ke sana sini berlari-lari, vokalnya tetap hebat.

Daripada rentak rancak ke lagu perlahan, boleh dikatakan nyanyian secara langsungnya hampir sempurna.

Bagaimanapun, jarang berlaku sebelum ini, betapa bijaknya Taeyang mengikat peminat jelas berbeza. Dengan kata-katanya saja, peminat semuanya jadi ‘cair’ apabila bicaranya diselitkan unsur intimasi dan romantik.

Pada saat itu, peminat ketara tidak dapat menahan diri untuk ‘jatuh cinta’ dengan penyanyi berkenaan, apa lagi dia sendiri fasih berbahasa Inggeris. Mendengar kata-katanya seakan-akan dia menujukannya kepada setiap orang peminatnya yang hadir di situ.

Selain vokal mantap yang sememangnya sudah diketahui umum, antara kekuatan Taeyang ialah bakat menarinya juga paling digeruni setakat ini.

Meskipun ditemani beberapa penari yang mengiringinya menerusi beberapa lagu, sukar untuk melihat dia ditenggelami penarinya. Dia pun sudah sedia hebat, kebanyakan masa, pasti mata penonton hanya tertumpu kepadanya.

Paling bertuah, seorang peminat wanita turut diundang ke atas pentas sambil dia menyanyikan lagu ditujukan buatnya. Dua peminat menerusi cabutan bertuah juga dihadiahkan Taeyang sepasang kasut serta topi putih yang dipakainya ketika membuat persembahan.

Lebih penting, dari segi teknikal juga, kehebatan penataan lagu, keseluruhan bunyi kugiran mengiringinya selain prop pentas mengagumkan. Penuh sentuhan antarabangsa, sesuailah bersatu dengan persembahan mantap penyanyi itu.

Lagu-lagu dipersembahkan Taeyang termasuk Body, Superstar, I Need A Girl, Just Look At Me, This Ain’t Right, Break Down, 1AM, Stay With Me, Let It Go, Love You to Death dan Bad Boy. Paling membuatkan peminat seakan-akan ‘histeria’ tatkala lagu Eyes, Nose, Lips berkumandang, tidak ketinggalan Ringa Linga.

Meskipun sendirian, Taeyang tidak lupa mendendangkan lagu hebatnya bersama G-Dragon iaitu Good Boy selain turut mempersembahkan lagu berhantu Big Bang, Fantastic Baby.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 8:57 AM
Skip this ad x