KWSP mengisytiharkan kadar dividen 6.75 peratus kepada 6.6 juta pencarum.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjangkakan untuk mencapai sasaran jumlah pelaburan luar negara sehingga 26 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pihaknya yakin dengan sasaran yang ditetapkan terutama dengan jumlah pelaburan yang dicatatkan setakat ini.

“Buat masa ini, majoriti pelaburan yang dilakukan adalah untuk pasaran dalam negara, namun dalam masa sama kami tetap membuat pelaburan di pasaran luar.

“Sehingga kini, jumlah pelaburan di luar negara mewakili 23 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang dibuat dan kami menjangkakan jumlahnya akan meningkat satu peratus setiap tahun sehingga 2018,” katanya selepas sesi penerangan media mengenai prestasi KWSP bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 di sini, semalam.

Menurutnya, kejatuhan ringgit secara tidak langsung memberi kesan positif kepada pelaburan yang dilakukan KWSP memandangkan sebahagian besar pendapatan daripada pelaburannya adalah dari dalam negara.

“Kira-kira 55 peratus pendapatan yang dicatatkan adalah daripada ekuiti dalam negara manakala baki 45 peratus dari luar negara.

“Walaupun berlaku kejatuhan nilai ringgit sejak kebelakangan ini, ia tidak memberi kesan besar kepada pelaburan yang kami lakukan,” katanya.

Baru-baru ini, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.75 peratus dan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.08 bilion, meningkat 11.66 peratus berbanding 2013.

Pendapatan pelaburan kasar bagi 2014 terutamanya daripada ekuiti dalam pasaran domestik dan global dicatatkan sebanyak RM22.91 bilion, meningkat 17.37 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Segmen hartanah dan infrastruktur menyumbang RM1.39 bilion pada tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan pelaburan sebanyak 22.31 peratus sejak 2013.

Setakat 31 Disember 2014, aset pelaburan KWSP berjumlah RM636.53 bilion, meningkat 7.91 peratus daripada RM589.87 bilion pada 2013.

Dalam pada itu, Shahril berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan prestasi kewangan bagi 2015 dan pihaknya akan melihat pelbagai sektor dalam menilai pelaburan berpotensi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 8:01 AM