PEMAIN ATM Suazo (kanan) diasak pemain Kelantan Wan Zaharulnizam Zakaria.
Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: Kecewa dengan kekalahan kepada Kelantan Sabtu lalu mendorong ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan melakukan rombakan terhadap kesebelasan utama skuad itu.

Sathianathan berkata, pihaknya merancang mempertaruhkan pemain berpengalaman, Hairuddin Omar untuk menerajui barisan depan pada pertemuan dengan Perak di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.

“Hairuddin tidak diturunkan pada aksi pertama dan kini saya tidak dapat menggunakan khidmat Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) kerana dia cedera.

“Rombakan perlu dibuat bukan saja membabitkan serangan, tapi juga pertahanan kerana ada kelemahan ketara,” katanya.

Sathianathan mengharapkan gandingan penyerang import (Abdulafees Abdul Salam dan Jeery Palacios Suazo) melakukan aksi kemas menembusi gawang lawan, tetapi selepas aksi pertama itu, perubahan perlu dilakukan untuk memastikan kemenangan.

“Perak pasukan hebat, biarpun tidak memiliki ramai pemain bintang, tapi pasukan bimbingan Datuk M Karathu itu sudah membuktikannya selepas menewaskan Sime Darby FC dalam aksi pertama,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:51 AM