CHIK Omar (kanan) menunjukkan dadah Methamphetamine yang disorok dalam ruangan khas bagasi. Turut sama Ketua Bahagian Penguatkuasa Kastam KLIA, Zahari Abdullah (kiri) dan Penguasa Kastam KLIA, Aziah A/P Ngah (tengah). FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Oleh Ainul Fatihah Mansor
am@hmetro.com.my


Sepang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan dua cubaan penyeludupan dadah seberat 7.19 kilogram (Kg) bernilai RM1.37 juta tiba ke negara ini menerusi pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 31 Januari dan 4 Februari lalu.

Pengarah Kastam KLIA, Datuk Chik Omar Chik Lim berkata, kes pertama pada kira-kira 1 pagi, 31 Januari lalu membabitkan penemuan serbuk putih yang disorok dalam 25 beg kecil.

"Ujian yang dilakukan mendapati ia positif methamphetamine dengan berat kasar 5.3 kg bernilai kira-kira RM1 juta.

"Modus operandi digunakan sama dengan kes lain iaitu disembunyikan dalam bagasi tetapi cara pergerakannya (bagasi) agak berlainan sekali gus menjadi trend terbaru menyeludup dadah ke negara ini.

"Bagasi itu tiba bersama suspek dari Lagos pada 29 Januari 12.20 pagi dan pada hari sama, suspek transit ke Miri, Sarawak pada 9.25 pagi sebelum transit sekali lagi ke Mulu, Sarawak pada 1.45 petang," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam KLIA di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudian balik semula ke Miri pada 30 Januari lalu dan terbang semula ke KLIA, namun tidak mengambil bagasi berkenaan tetapi meminta syarikat penerbangan menghantar ke lokasi penginapan di Kuala Lumpur.

"Suspek pulang ke negara asal pada 2 Februari lalu sedangkan tempahan tiket suspek sepatutnya pulang pada 7 Februari," katanya.

Dalam kes kedua, Chik Omar berkata, wanita warga China berusia 23 tahun ditahan oleh anggota JKDM kira-kira 12.30 pagi pada 4 Februari lalu selepas imbasan ke atas bagasi beroda yang dibawanya menampakkan imej meragukan.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati serbuk putih yang disorok di dalam ruangan khas dalam bagasi itu adalah positif dadah jenis methamphetamine seberat 1.89 kg bernilai RM359,100.

Sehubungan itu, wanita itu kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 3:41 PM