ISMAIL Faruqi (kanan) dan Lopez buat kem Terengganu ceria.
Oleh Malik Muhamad
sukan@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim menyifatkan kombinasi berkesan pemain tempatan dan import berjaya membantu Terengganu menang bergaya menewaskan Selangor 2-0 pada aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu.

Malah, bekas jurulatih kebangsaan itu turut menyifatkan kejayaan anak buahnya menyerap tekanan berdepan Red Giants itu walaupun diasak pada awal babak pertama adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Bermain pada aksi pertama memang sesuatu menyukarkan kerana masing-masing tidak mengetahui kekuatan dan kelemahan lawan, namun keupayaan pemain menghasilkan dua gol harus dipuji.

“Selain itu, kombinasi kali pertama barisan pemain tempatan dan import termasuk dua pemain baru Paulo Rangel dan Gustavo Lopez memberi lebih keyakinan buat pasukan memperagakan aksi bermutu,” kata jurulatih berusia 69 tahun itu.

Pemain tengah kreatif Ismail Faruqi Ashari menceriakan kem Terengganu apabila merembat kencang untuk gol pertama tuan rumah pada babak pertama, disusuli jaringan cantik Lopez pada babak kedua menerusi sepakan percuma di luar kotak penalti.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut memuji persembahan beberapa pemain muda yang mampu melangkah lebih jauh jika diberi pendedahan mencukupi.

“Jika mereka dimasukkan dalam 20 minit terakhir dalam beberapa perlawanan selepas ini, tempo permainan mereka boleh meningkat seterusnya menambah keyakinan untuk beraksi lebih baik,” katanya sebelum berkunjung ke Sarawak Sabtu ini .

Sementara itu kem T-Team yang sugul selepas tewas 0-2 kepada PKNS FC berazam untuk bangkit bertemu Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Kuala Terengganu, Jumaat ini.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pasukan berhasrat sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam aksi pertama itu namun tidak kesampaian.

“Bagaimanapun pemain tiada pilihan kecuali menang ke atas Pulau Pinang untuk menaikkan semula moral pemain dan peminat setia pasukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:45 AM