ISMAIL Faruqi (kiri) ledak gol pembukaan Terengganu.

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic tidak mempunyai pilihan lain selain mempertajamkan sentuhan penyudah barisan penyerangnya andai mahu melangkah jauh dalam saingan Liga Super.

Harapan yang disandarkan kepada penyerang import dari Brazil Guiherme De Paula untuk meledak jaringan tidak kesampaian sebaliknya lawan meledak dua gol menerusi Ismail Faruqi Ashari dan Gustavo Lopez bagi memastikan kemenangan 2-0 memihak Terengganu.

“Kami mungkin memenangi perlawanan sekiranya peluang dicipta mampu dimanfaatkan. Kami seharusnya mendahului 2-1 pada babak pertama namun inilah bola sepak.

“Kami perlu meledak jaringan untuk melakar kemenangan. Bagaimanapun, saya gembira dengan persembahan semua pemain, saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain dengan corak permainan baik yang mereka pamerkan,” kata jurulatih dari Australia itu.

Pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin, Durakovic menurunkan empat tonggak importnya dengan Merah Kuning memiliki banyak peluang untuk menjaringkan gol pada babak pertama.

Ahmad Hazwan Bakri turut berjaya menggegar gawang Terengganu yang dikawal Mohd Sharbinee Allawee Ramli pada minit ke-18, namun dia didakwa berada dalam kedudukan ofsaid menyebabkan golnya dibatalkan dan percubaan kedua bekas pemain Harimau Muda A berkenaan m-25 menggegar tiang gol.

Detik kekalahan Selangor akhirnya bermula m-37 apabila rembatan menarik Ismail Faruqi menerjah gawang Selangor ketika penjaga gol Norazlan Razali berada di luar posisi selepas menyelamatkan bola sepak sudut.

Ia disusuli sepakan percuma pemain import dari Brazil, Lopez yang menggegar gawang untuk menewaskan Norazlan buat kali kedua m-72.

Selangor mempunyai masa sehingga Jumaat ini memperkemaskan jentera serangan sebelum bertandang ke Stadium Darul Makmur menentang Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 7:40 AM