MAYAT mangsa yang maut dalam kemalangan petang semalam.
Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang penuntut lelaki Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) maut selepas motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah kenderaan petugas lebuhraya (Propel) di Kilometer 199.9, Lebuhraya PLUS, arah selatan, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 petang, mangsa, Muhammad Zakiyuddin Esa, 25, yang menunggang motosikal Honda EX5 maut di tempat kejadian kerana kecederaan di muka dan kepala.

Ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ayer Keroh dan terlanggar kenderaan Propel yang berada di lorong kecemasan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, mangsa dipercayai tercampak di lorong kiri selepas terlanggar bahagian bucu belakang kenderaan Propel yang berada di lorong kecemasan.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 11:21 AM