SHAHROL Azizie Azmi

Kembara seni Shahrol Azmi, 31, bermula apabila dia dan sepupunya Ajak bergabung sebagai kumpulan Shiro dan kemudian menyertai Raja Lawak 6. Telatah lucu setiap minggu berjaya menambat hati penonton, sekali gus mengumpul penyokong sendiri.

Awalnya, keupayaan mereka belum dilihat sepenuhnya namun mula meledak selepas kejayaan Shiro menduduki tempat ketiga dalam Maharaja Lawak Mega 2012 (MLM 2012). Kejayaan itu sekali lagi dirasai apabila menduduki tempat kedua dalam MLM 2013.

Nama Mujibur sebagaimana karakter kononnya dari Bangladesh dalam MLM makin sinonim dengannya hingga watak itu diangkat dalam siri Cakap Melayulah yang dipegang Shahrol.

Nyata penonton tidak pernah bosan dengan karakter itu. Setiap kali Shahrol muncul melakonkan watak itu, dia berjaya menggeletek hati penonton hingga ada mengatakan Shahrol adalah penggerak utama kumpulan Shiro.

Tidak hanya tertumpu di pentas lawak, Shahrol juga ada bakat berlakon. Antara drama dan filem membabitkan dirinya ialah Ini Baru Raya Betul, Cinta Tampal, Sepah The Movie dan Ustaz Mu Tunggu Aku Datang.

Shahrol juga menjadi hos rancangan Suka Lattew bersama Alif Satar serta berganding dengan Didie Alias sebagai pengacara perasmian Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26). Dia pernah menyertai program Onyomat Geset Go (OGG) bersama Ajak dan berjaya mendapat tempat ketiga.

Masih baru bertapak dan mencipta nama, timbul pula cerita perang dingin di antaranya dan Jep Sepahtu. Tidak hanya setakat itu, Shahrol juga dikaitkan dengan gosip kononnya bercinta dengan anak tiri vokalis kumpulan Iklim. Namun Shahrol menafikan perkara itu.

Dia juga dikatakan senyap-senyap bertunang dengan wanita dari Johor Bahru. Menurut khabar angin itu, dia pernah membawa wanita itu ketika menjalani penggambaran Suka Lattew. Bagaimanapun, Shahrol enggan mengulas perkara itu.

INFO

Nama sebenar: Shahrol Azizie Azmi

Lahir: 16 Julai 1984

Asal: Kluang, Johor

-Anak sulung daripada enam beradik

-Pernah bekerja sebagai pegawai Imigresen

-Bergabung dengan Ajak menubuhkan kumpulan Shiro

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:02 AM