AINA ambil kritikan juri sebagai pengajaran.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


Konsert Battle Ketiga Kumpulan B, Mentor Legend Ahad lalu menyaksikan protoge Tuah dan Aina diberi peluang untuk kembali berentap di pentas separuh akhir program realiti itu malam esok di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Bagi membuktikan kemampuan mereka, Tuah yang juga protege Mas Idayu dan Aina protege kepada Ella sudah mempunyai strategi untuk persembahan pusingan separuh akhir pertama itu.

Persembahan esok juga akan menampilkan kelainan apabila semua peserta dikehendaki menyampaikan lagu secara medley dan solo.

Tuah atau nama sebenarnya Mohamad Farhan Zahi Mohd Zaini, 22, berkata, dia sudah bersedia berdepan cabaran dan mempunyai kejutan kepada penonton nanti.

"Sebagai 'comeback', saya akan menampilkan kelainan dalam persembahan selain buat yang terbaik bagi menawan hati juri," katanya.

Menurut Tuah, dia akan menyampaikan lagu Romancinta dan Rock You Like A Hurricane.

"Walaupun ada kejutan nanti, saya memastikan persembahan dan vokal seimbang," katanya.

Katanya, sepanjang minggu ini, dia menjalani latihan intensif sebagai persiapan pusingan separuh akhir.

"Kak Mas Idayu juga tidak berputus memberi kata-kata semangat kepada saya," katanya.

Seperti Tuah, Aina juga akan menyelitkan eleman kejutan pada persembahan separuh akhir.

"Persiapan untuk konsert ini juga mencabar bagi saya dan Mentor, Ella kerana perlu memberi persembahan terbaik kepada juri.

"Saya akan menyanyikan dua lagu iaitu Berhenti Berharap dan Fighter," katanya.

Pemilik nama sebenar Nurul Aina Abdul Ghani itu berkata, lagu yang dipilih sebenarnya bukan mudah untuk dinyanyikan.

"Lagu Fighter bagi menunjukkan sisi beza saya yang boleh bebas ketika di pentas.

"Saya mahu fikir positif dan mengambil kritikan juri sebagai pengajaran untuk menambah baik persembahan," katanya.

Pusingan separuh akhir pertama Mentor Legend bakal menyaksikan persembahan solo daripada protoge kumpulan A dan B iaitu Sarah, Nadeera, Fahmie dan Azmil.

Konsert pusingan separuh akhir pertama Mentor Legend boleh disaksikan menerusi saluran TV3 pada jam 9 malam, esok.

Sorotan aktiviti protege bersama mentor mereka juga boleh disaksikan menerusi Jurnal Mentor Legend pada setiap Ahad pada jam 6 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 5:01 AM