London: Keadaan mungkin menjadi lebih buruk buat dua pasukan bawahan Liga Perdana Inggeris, Aston Villa dan Hull City yang menentang pendahulu Chelsea dan Manchester City malam esok.

Villa yang melayan kunjungan Chelsea didakwa pengecut oleh bekas penyerang mereka, Stan Collymore apabila dibelasah Arsenal 5-0 Ahad lalu, kekalahan keenam berturut-turut mereka.

Setakat ini, mereka hanya berupaya menjaringkan 11 gol liga berbanding kedudukan di tangga kedua liga September lalu, mereka kini menduduki tangga ke-16, tiga mata di luar zon penyingkiran dan berisiko tersingkir buat kali pertama dalam tempoh 27 tahun.

Pengurus Paul Lambert (gambar) mendapat sokongan penuh pemilik kelab Randy Lerner minggu lalu, tetapi penyokong pasti bertambah berang andai kehilangan mata ketika bertemu Chelsea malam esok.

Senario serupa turut berlaku dan andai berjaya mengejutkan City, pengurus Hull Steve Bruce pasti menjadi sanjungan ketika pasukannya menduduki tangga lebih buruk berbanding Villa. Mereka kini menduduki kelompok tiga tercorot dengan dua kemenangan sepanjang 16 perlawanan.

Mereka tewas 0-3 kepada Newcastle United, Sabtu lalu dan jika gagal meningkatkan persembahan, penyingkiran seakan hampir pasti buat mereka musim depan.

Sementara itu, pengurus Chelsea Jose Mourinho sudah mendapat khidmat pemain sayap Colombia, Juan Cuadrado yang dibeli daripada Fiorentina pada hari terakhir perpindahan pemain.

City bermain tanpa khidmat penyerang Wilfried Bony yang beraksi pada Piala Negara Afrika, tetapi ketiadaannya tidak akan menjejaskan persembahan kelabnya itu menentang Hull.

Perlawanan lain malam esok menyaksikan pertembungan Tottenham Hotspur dan Arsenal di White Hart Lane manakala Everton melayan kunjungan Liverpool. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 9:40 AM