PEKERJA asing yang ditahan menerusi Ops Mahir di kilang perabot di Taman Mount Austin.
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang majikan dan sembilan pekerja asing ditahan Jabatan Imigresen menerusi Ops Mahir di kilang perabot di Jalan Mutiara Emas 5/11, Taman Mount Austin di sini, 3.30 petang semalam.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen 1 Johor, Gajendra Bahadur berkata, hasil serbuan mendapati majikan berkenaan iaitu seorang wanita tempatan berusia 44 tahun menggaji Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Beliau berkata, beberapa pekerjanya juga didapati melakukan kesalahan termasuk tinggal lebih masa selain menyalahguna pas lawatan sosial.

"Dalam serbuan berkenaan, kami menjalankan pemeriksaan terhadap 25 pekerja sebelum menahan sembilan pekerja.

"Pekerja yang ditahan dalam lingkungan usia 19 hingga 44 tahun.

" Kesemua mereka yang ditahan termasuk majikan pekerja asing itu dibawa ke Pejabat Imigresen Bahagian Penguatkuasa di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Taman Setia Tropika, Kempas untuksiasatan lanjut," katanya.

Gajendra berkata, dalam serbuan itu, lima lelaki dan seorang perempuan ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki dan tinggal tanpa pas atau permit.

Beliau berkata, manakala seorang lelaki ditahan di bawah Perkara 17(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna pas lawatan sosial.

Menurutnya, manakala dua lelaki ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa atau tamat tempoh permit.

Katanya, majikan pekerja asing berkenaan ditahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja asing secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:03 PM