DIAZ (dua dari kanan) bersama Chanturu (kanan) cuba memperdaya Lalthuammawia.
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Jaringan pemain gantian S Chanturu pada babak pertama masa tambahan memastikan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Bengaluru FC 2-1 pada saingan kelayakan pertama Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2015 di Stadium Larkin malam tadi.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada 90 minit perlawanan dan Chanturu ibarat ‘wira tidak berdendang' apabila jaringannya memastikan skuad Harimau Selatan meneruskan perjuangan dengan berdepan Bangkok Glass FC di Bangkok, 10 Februari ini.

Tanpa kelibat Jorge Pereyra Diaz yang diletak sebagai simpanan, ketua jurulatih Johor DT Bojan Hodak membuat rombakan apabila mempertaruhkan kelibat pemain tempatan menggempur benteng juara Liga India (Liga-I) itu dengan formasi 4-2-3-1.

Percubaan awal skuad Harimau Selatan nyaris menghadiahkan gol sendiri pada minit ketujuh selepas pertahanan pasukan pelawat nyaris tertanduk ke gawang mereka ketika cuba mengeluarkan bola daripada keadaan berbahaya di dalam kotak penalti, berpunca daripada sepakan percuma Nazrin Nawi.

Kapten Johor DT Safiq Rahim seharusnya mampu mencipta jaringan gol pada minit ke-32 selepas menerima umpanan Amirul Hadi Zainal namun sepakan lencongnya hanya sekadar sipi dari gawang gol.

Kemasukan Diaz pada babak kedua menggantikan Amirul Hadi nyata mempertajamkan barisan serangan yang tampak kurang berkesan, sekali gus menguatkan kembali serangan Harimau Selatan.

Johor DT tidak menunggu lama untuk meleraikan kebuntuan jaringan apabila pada minit ke-46 bola sepakan sudut Nazrin tepat kepada Hariss Harun yang tidak dikawal dan pemain itu mudah menanduk masuk menewaskan penjaga gol Bengaluru Lalthuammawia Ralte.

Pelawat yang tertekan dengan jaringan tunggal itu mula mengasak ke kubu tuan rumah namun benteng pertahanan diterajui Marcos Antonio dan Junior Eldstal tampak sukar ditembusi.

Namun berbaki satu minit untuk tamat pasukan pelawat berjaya mencipta gol penyamaan selepas bola sepakan sudut kapten Sunil Chhetri melencong tepat menerjah jaring menewaskan penjaga gol Mohd Farizal Marlias untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Bagaimanapun jaringan Chanturu pada minit ke-97 menyebabkan Sorakan Larkin kembali bergema dan Johor DT terus bertahan untuk kemenangan 2-1 sekali gus memastikan tiket ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:24 AM