Quetta, Pakistan: Penyerang bersenjata menembak mati seorang anggota polis yang ditugaskan mengawasi pasukan vaksinasi polio di barat daya Pakistan, semalam.

Dalam kejadian terbaru kumpulan pelampau cuba melumpuhkan kempen antipolio itu, dua lelaki bermotosikal membunuh polis terbabit di Pashtunabad, pinggir Quetta, ibu negeri Baluchistan yang kaya dengan minyak dan gas.

Pegawai kanan polis Quetta, Aitzaz Goraya berkata, secara keseluruhan ada empat anggota polis bertugas ketika itu.

“Mangsa ditembak ketika keluar dari masjid selepas menunaikan solat Zuhur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Aitzaz semalam, polis malang itu menghembus nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital.

Pakistan adalah satu daripada tiga negara yang masih dibelenggu masalah penyakit polio.

Cubaan membasmi penyakit itu berdepan kesukaran akibat tentangan daripada militan.

Serangan ke atas petugas polis sejak Disember 2012 menyebabkan kira-kira 69 orang terkorban sehingga kini.

Militan mendakwa vaksin polio adalah punca untuk perisikan atau konspirasi untuk mencemar Islam. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:23 AM