Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Setia mempertahankan muzik ketuhanan, pendatang baru, Kif Kifarah, 29, berharap kehadirannya dalam bidang nyanyian diterima ramai.

Mula menyanyi sejak dibangku sekolah, Kif mengabadikan nama Kifarah pada hujung namanya sebagai mengenang nama kumpulan nasyid itu yang pernah disertainya dulu. Namun, disebabkan masing-masing sibuk kumpulan itu terpaksa dibubarkan dan mereka membawa haluan sendiri.

Hanya Kif seorang yang meneruskan perjuangannya dalam bidang seni. Biarpun bersendirian dia tetap ligat memperjuangkan muzik ketuhanan yang sudah menjadi darah dagingnya sejak dulu.

Tidak gentar dengan saingan, pemilik nama penuh, Mohd Rofaizi Ya’cob, yakin muzik seperti itu ada kelompok peminatnya sendiri.

“Saya tidak perlu mengubah muzik yang diperjuangkan demi mengikut selera peminat kerana saya yakin muzik berkonsepkan ketuhanan ada peminat tersendiri.

“Apa yang perlu saya lakukan adalah terus mengekalkan muzik sedia ada di samping mempelbagaikannya dengan genre lain bersesuaian konsep yang saya bawakan.

“Jika dulu muzik nasyid begitu popular, tetapi kini konsep ketuhanan juga satu daripada aliran muzik yang semakin mendapat perhatian kerana ia tidak hanya berhibur semata-mata, tetapi ada mesej yang mendalam,” katanya.

Tampil dengan tiga lagu, Tanah Air Api Angin, Bicara Tanpa Suara dan Putih, meskipun ketiga-tiga lagu itu sudah dilancarkan tahun lalu, namun ia belum mendapat tempat dalam kalangan pendengar.

“Saya masih baru dalam bidang ini dan kurang mendapat publisiti menyebabkan lagu nyanyian saya kurang dikenali. Tidak saya nafikan lagu-lagu itu juga belum sempat saya promosikan di radio kerana kesibukan menyanyi pada majlis makan malam dan keramaian.

“Bergerak dengan syarikat indie, banyak perkara yang perlu saya pelajari dan buat sendiri antaranya bertemu media memberi pengalaman baru buat saya. Hakikatnya saya masih sedikit kekok berdepan wartawan.

“Apa pun saya bersyukur, kemunculan tiga lagu itu atas dorongan peminat yang sentiasa menyokong saya sejak bersama kumpulan Kifarah. Kurang dikenali tidak mengapa, asalkan peminat tegar saya tahu dan suka dengan lagu yang saya persembahkan,” kata anak bongsu daripada lapan beradik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 8:20 AM