BAYI comel Radhi dan Ayu.

Tidak dinafikan industri hiburan tahun ini dibuka dengan pelbagai cerita kontroversi dan hangat sehingga menjejaskan nama segelintir artis yang sememangnya jujur menghambakan diri mencari rezeki dalam industri ini.

Selepas asyik disajikan dengan kontroversi, kali ini SS nak berkongsi cerita gembira membabitkan dua artis. Tidaklah nanti peminat jemu kerana asyik disajikan dengan cerita buruk artis saja.

SS nak mengucapkan tahniah kepada Radhi OAG dan isterinya, Nor Shahira Ayu Zahiri atau Ayu yang baru menimang cahaya mata perempuan pada 30 Januari lalu.

Berita gembira itu dikongsi Ayu menerusi laman sosial Instagram miliknya. Bayi perempuan comel itu dilahirkan dengan berat 2.84 kilogram pada jam 8.10 malam di sebuah pusat perubatan swasta.

Radhi mengahwini Ayu di Masjid Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 4 April tahun lalu. Sebelumnya Radhi pernah berkahwin dengan Shazlin Sharif, pada 1 Januari 2005 dan bercerai pada 8 Jun 2010.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Muhammad Rifdhi Muslim yang kini berusia 10 tahun. SS harap kehadiran anak baru dapat memberikan lebih sinar dalam hidup pasangan suami isteri itu.

Sementara itu, SS juga ingin mengucapkan tahniah buat Salma Mentor kerana baru saja melangsungkan perkahwinan dengan Azri AF9 di Tawau, Sabah pada 31 Januari lalu.

Mereka bernikah di Masjid Al Kautsar, Tawau, tepat jam 11 pagi. Berwakil walikan bapanya, Salma menerima mas kahwin RM300 berserta wang hantaran RM10,000 termasuk tujuh dulang hantaran dengan balasan sembilan dulang daripada keluarga Salma.

Ini adalah perkahwinan kedua Salma di mana menerusi perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan seorang anak perempuan. SS diberitahu anaknya juga rapat dengan Azri dan memanggilnya papa.

SS puji pendekatan yang diambil pasangan itu yang segera melangsungkan perkahwinan tanpa menunggu lama. Ada antara pasangan artis, bercinta sudah lama, tetapi apabila ditanya mengenai perkahwinan sering memberikan pelbagai alasan seperti sibuk dalam karier.

Pada SS alasan itu langsung tak berasas kerana kalau betul-betul berkehendak apa saja boleh diusahakan. Ada juga yang bercinta bagai nak rak, tetapi akhirnya putus begitu saja.

Semoga rumah tangga mereka kekal sehingga ke akhir hayat dan tabah menempuh cabaran hidup sebagai suami isteri.

SS: Ngeri baca kisah gadis dibunuh hanya kerana menolak cinta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 8:17 AM