Oleh Mohd Amin Jalil
sukan@hmetro.com.my


Seremban: Penyerang baru Negeri Sembilan (NS) Matrix, Rudie Ramli mahu menjadikan perpindahannya kali ini memberi makna lebih besar dengan sumbangan lebih berkesan merealisasikan kejayaan dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Bekas pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu menjadi sandaran pengurusan skuad Hoben Jang Hoben yang mahu merangkul kejuaraan Liga Perdana selain mencatatkan pencapaian cemerlang dalam Piala FA dan Piala Malaysia.

Pemain berpengalaman dari Selangor berusia 32 tahun itu melahirkan azam tinggi memberikan sumbangan terbaik sepanjang kempen musim ini sebagai tanda penghargaan kepada pengurusan pasukan.

“Saya mahu buktikan kemampuan sebenar bersama Negeri Sembilan musim ini serta berharap menggunakan pengalaman di peringkat domestik dan antarabangsa untuk membantu kejayaan pasukan.

“Biarpun bukan mudah dan memerlukan kerjasama rakan sepasukan, ia menjadi misi peribadi saya untuk memastikan impian merangkul kejuaraan Liga Perdana satu kenyataan,” katanya.

Rudie berkata, dia sudah bersedia berada dalam kesebelasan utama selepas mengharungi 11 aksi persahabatan pramusim bergandingan dengan Francis Forkey Doe, jika itu pilihan ditetapkan ketua jurulatih K Devan.

Menurutnya, ketua jurulatih mempunyai perancangan tersendiri menentukan senarai kesebelasan terbaik berdepan DRB Hicom FC di gelanggang lawan, Jumaat ini.

“Saya harap dapat beraksi lebih kerap sepanjang musim ini selepas musim lalu banyak menjadi pemain gantian,” katanya.

Dia juga yakin dengan kehadiran ramai pemain berpengalaman seperti Rezal Zambery Yahya, Ahmad Fauzi Saari, Mohd Fazliata Taib, Shamsul Mohd Saad, Mohd Kyril Muhymeen Zambri, Bruno Sebastian Martelotto, Mohd Helmi Eliza Alias dan Azizi Mat Rose kekuatan pasukan lebih menyerlah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 6:28 AM