PENYU dilepaskan ke laut.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Usaha pemuliharaan spesies penyu te­rus menjadi agenda Jabatan Perikanan apabila menandatangani persetujuan kerjasama menerusi Program Pemuliharaan Penyu Bersama Bumi Armada Berhad, baru-baru ini.

Majlis pemeteraian diadakan di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP), Cherating, Pahang.

Ia disaksikan Pemang­ku Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Kejuruteraan dan Persekitaran Bumi Armada Berhad, Nor Azmi Abd Malek dan Pe­ngarah Perikanan Negeri Pahang yang mewakili Jabatan Perikanan, Adnan Hussin.

Kerjasama itu bagi meningkatkan usaha dan aktiviti pemuliharaan penyu di pusat penetasan di PKPP Cherating.

Antara aktiviti yang dipersetujui ialah menaik taraf pusat penetasan sedia ada, penandaan penyu menggunakan mikrocip dan satelit telemetri.

Ia juga membabitkan program konservasi pe­nyu, penyelenggaraan PKPP Cherating dan bekalan makanan serta vitamin bagi penyu.

Ismail ber­kata, jabatan itu melaksanakan program pengurusan dan pemuliharaan penyu sejak 90-an.

"Daripada tujuh spesies penyu yang wujud di dunia, empat spesies penyu ini terdapat di Malaysia iaitu penyu belimbing, penyu agar, penyu karah dan pe­nyu lipas," katanya.

Beliau berkata, kerjasama dengan Bumi Armada Berhad menjadi detik bersejarah dalam pemuliharaan dan pengurusan penyu bersama pihak swasta.

"Kerjasama ini mening­katkan populasi penyu di PKPP Cherating, Pahang," katanya.

Data pendaratan dan pelepasan anak penyu bagi tempoh lima tahun (2007-2012) membabit­kan empat spesies itu mendapati penyu paling banyak mendarat pada 2012.

"Sebanyak 4,124 sarang penyu agar ditemui manakala bagi spesies penyu karah, pendaratan tertinggi pada 2011 iaitu 628 sarang," katanya.

Bagi penyu lipas, pendaratan adalah rendah iaitu dua sarang sejak 2008.

Paling malang, data pemerhatian mendapati kali terakhir penyu belimbing mendarat ialah 2010 dan hanya lapan sarang ditemui dan tiada pendaratan penyu belimbing selepas itu.

Di Semenanjung, enam Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dibangunkan bagi melaksanakan program pe­ngurusan dan pemuliharaan penyu iaitu Rantau Abang dan Ma'Daerah, Terengganu, Cherating, Pahang, Padang Kemunting, Pangkalan Balak, Melaka, Segari, Perak dan di Pantai Kerachut, Pulau Pinang.

Jabatan Perikanan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan swasta bagi mengurus dan memulihara spesies penyu di negara ini.

Kajian yang dilakukan membabitkan penandaan penyu, kajian kadar kecergasan anak penyu yang ditetaskan dalam kotak strofoam, 'Ex-Situ' dan 'In-Situ' (semula jadi).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:24 AM