AINA dan Hazama berpadu suara menyampaikan lagu Ghazal Untuk Rabiah.
NADEERA memukau dengan nyanyian keroncong menerusi lagu Rapuh.
KOLABORASI duet Azmil dan Azlan & Typewriter menerusi Kaulah Segalanya menyerlahkan keupayaan vokal protoge Dayang itu.
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@mediaprima.com.my


Tersisa kekecewaan di wajah protege Ratu Rock Malaysia, Ella iaitu Aina saat menyedari hanya ketinggalan satu mata untuk menempatkan diri sebagai dua peserta terbaik, sekali gus melenyapkan perjuangannya ke pusingan separuh akhir.

Bagaimanapun, tangisan kekecewaan itu bertukar air mata gembira apabila Konsert Battle Mentor Legend pusingan ke-3 membabitkan peserta Kumpulan B, memutuskan tiada penyingkiran berlaku melalui pengumuman yang disampaikan AG Hot FM, selaku pengacara program realiti terbitan TV3 itu.

Lebih mengejutkan, peluang ke Separuh Akhir Mentor Legend turut menyerapkan semula peserta Kumpulan A yang tersingkir dua minggu lalu iaitu Tuah yang juga protege penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu.

Komposer berpengalaman, Azmeer yang ditemui usai persembahan minggu ke-10 itu, menyatakan pendiriannya untuk mengembalikan semula keenam-enam peserta Mentor Legend di pentas separuh akhir kerana mereka layak diberikan peluang.

Azmir menyifatkan persembahan semua peserta untuk Konsert Battle ke-3 Kumpulan B berlangsung Ahad lalu di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, sangat bagus sehingga dia dan Adlin Aman Ramli berasa berat untuk menyingkirkan seorang daripada mereka.

“Pada masa sama, pada malam ini Mentor sendiri memperlihatkan pelbagai usaha di mana Ella misalnya membuat percubaan berani apabila mencabar protegenya, Aina menyanyikan lagu bernuansakan qasidah yang tidak mudah untuk dinyanyikan.

“Walaupun tidak begitu sempurna nyanyian qasidah itu, namun Aina berjaya menyampaikan lagu Ghazal Untuk Rabiah secara duet dengan Hazama dengan baik. Inisiatif untuk keluar daripada zon selesa ini perlu diberikan pujian.

“Begitu juga dengan Zainal Abidin yang memperlihatkan kreativitinya sebagai seorang Mentor serta membawa protege juga Mentor Legend ini ke satu ‘standard’ yang lain. Zainal memberikan nafas baru pada susunan muzik Rapuh dipopularkan Agnes Monica dan menjadikan ia lagu keroncong.

“Sama seperti Dayang memperlihatkan gabungan kreatif di antara Azmil dan Azlan & Typewriter menerusi duet Kaulah Segalanya. Kreativiti Mentor juga nyanyian yang baik daripada peserta menjadi faktor utama mengapa juri dan pihak produksi mengambil keputusan untuk memberi peluang buat keenam-enam peserta untuk melangkah ke pusingan separuh akhir,” katanya.

Menjawab mengenai penyerapan semula Tuah yang tersingkir di Konsert Battle ke-3 Kumpulan A, dua minggu lalu, Azmeer berkata, tidak adil sekiranya

Aina dikekalkan menerusi program ini sedangkan markah keseluruhan yang diperoleh anak

didik Mas Idayu itu mendahului protege Ella.

“Tuah memperoleh keseluruhan 200 mata untuk persembahannya di Konsert Battle Ke-3 Kumpulan A, sementara Aina ketinggalan dua mata iaitu 198. Nadeera pula mendahului Aina dengan satu mata iaitu 199.

“Pastinya mengekalkan Aina sedangkan markah Tuah lebih tinggi berbanding protege Ella itu satu keputusan yang tidak adil. Tambahan pula, Tuah mempamerkan persembahan nyanyian yang baik. Cuma pemilihan lagu yang tidak bersesuaian vokalnya menjadi punca penyingkirannya,” katanya.

Pada temu bual itu, Azmeer turut menyarankan mentor dan protege memilih lagu yang tepat kerana pada peringkat separuh akhir setiap peserta kemungkinan dibenarkan menyanyi satu lagu saja.

Justeru, pemilihan lagu yang tepat dan bersesuaian vokal protege amat penting untuk merebut peluang ke peringkat seterusnya.

Penyanyi universal, Zainal Abidin yang turut berada pada sidang media itu, menyatakan kelegaannya apabila juri dan pihak produksi mengambil keputusan membenarkan semua peserta Kumpulan B ke separuh akhir.

“Walaupun undian juri dan penonton untuk Nadeera menempatkan dia di kedudukan dua peserta terbaik, sekali gus menyelamatkan protege saya daripada tersingkir, tetapi terus terang saya berdoa supaya semua peserta Kumpulan B dapat ke separuh akhir.

“Kalau boleh saya mahu melihat semua mereka ke final kerana saya berpendapat peserta Kumpulan B sangat berbakat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri.

“Sebelum konsert minggu ini bermula, saya bertahajud dan berdoa supaya tiada satupun daripada mereka disingkirkan. Alhamdulillah, Allah memakbulkan doa saya,” katanya.

Mengimbas persembahan Ahad lalu, Azmil juga protege kepada penyanyi hebat, Dayang Nurfaizah yang memperoleh 206 mata tidak menyangka berada di tangga teratas minggu ini, apatah lagi ketika mengalami masalah sakit tekak.

Azmil membawakan lagu Kasih Tak Sampai dipopularkan kumpulan Padi. Bagi segmen duet Azmil dan Azlan & Typewriter beradu suara menerusi Kaulah Segalanya (Ruth Suhanaya).

Sementara Nadeera pula, memilih Rapuh (Agnes Monica) untuk persembahan solo, sebelum muncul secara duet bersama penyanyi popular, Hafiz Suip mendendangkan lagu Aku & Dirimu (Ari Lasso & Bunga Citra Lestari).

Aina pula mencabar dirinya dengan menyampaikan dua lagu Inggeris, As Long As You Love Me dan Problem (Justin Bieber & Arian Grande) untuk segmen solo. Diikuti paduan suara bersama Hazama menerusi lagu Ghazal Untuk Rabiah (Datuk M Nasir & Jamal Abdillah).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:09 AM