Southampton: Pengurus Ronald Koeman (gambar) menegaskan Southampton masih boleh layak ke Liga Juara-Juara sekalipun menerima tamparan hebat apabila tumpas kepada Swansea 0-1.

Pemain Swansea, Jonjo Shelvey mengejutkan St Mary’s dengan gol kemenangan lewat perlawanan kelmarin.

Kemenangan Arsenal, Liverpool, Manchester United dan Tottenham, empat pencabar utama mereka nyata menjadi minggu buruk buat Southampton.

Southampton muncul antara pasukan kejutan musim ini namun Koeman berkata: “Kami boleh jangkakan pasukan seperti Arsenal, Tottenham dan Liverpool menang perlawanan mereka.

“Mereka pasukan besar dengan pemain yang bagus. Saya tidak terkejut mereka akan bangkit. Bagi kami sukar mengekalkan kedudukan dalam carta dan kami menyedarinya.

“Kami perlu bertindak bagus setiap perlawanan. Anda lihat jika setiap pemain tidak berada pada tahap terbaik, ia menjadi lebih sukar.

“Tiada sedetikpun kami berasa boleh mengekalkan kedudukan ini (kelompok empat teratas) kerana kami sedar ia amat sukar.

“Kedudukan dalam carta selepas kekalahan ini masih tidak normal buat Southampton, tapi kami akan terus berusaha. Kami bangkit selepas kekalahan bulan lalu dan saya pasti dengan semangat tinggi, kami mampu mengulanginya.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 6:14 AM