PNS bawa jenama antarabangsa dengan wajah tempatan beri peluang rakyat tempatan untuk terlibat dalam industri francais.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Perbadanan Nasional Berhad (PNS) menyifatkan langkah membawa jenama francais antarabangsa ke negara ini tidak memberi impak kepada sokongan terhadap jenama tempatan kerana syarikat Malaysia boleh mempelajari kaedah perniagaan syarikat antarabangsa itu sebagai platform untuk meluaskan lagi pasaran pada masa akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainol Khodki Shahabudin berkata syarikat tempatan dilihat perlu mentransformasikan perniagaan francais itu ke arah strategi yang lebih sesuai dengan pasaran tempatan sebelum ia boleh dipasarkan kembali bukan saja di Malaysia malah ke pasaran luar menggunakan kedudukan negara sebagai hab halal global.

“Sebagai contoh, Kenny Rogers adalah satu daripada jenama francais antarabangsa yang kini sudah menjadi jenama tempatan. Kami sendiri mempraktikkan langkah ini dengan mentranformasikan jenama Gloria Jeans Coffee dari Australia apabila ia kini semakin berkembang di pasaran Malaysia dan Brunei,” katanya pada majlis pelancaran program Keusahawanan Bumiputera Coolblog.

Beliau berkata, penjenamaan francais antarabangsa dengan wajah tempatan itu dilihat selari dengan saranan Perdana Menteri supaya lebih memberi fokus kepada produk tempatan, pada masa sama memberi peluang lebih besar kepada rakyat tempatan untuk terlibat dalam industri francais.

“Tidak timbul isu mengenai sokongan terhadap jenama tempatan kerana PNS memiliki hala tuju yang strategik untuk melahirkan lebih ramai usahawan francais berdaya saing di negara ini,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai perancangan PNS tahun ini, Syed Zainol berkata pihaknya mengunjurkan pembiayaan antara RM60 juta hingga RM70 juta kepada usahawan yang berminat menceburi perniagaan francais meliputi pelbagai bidang dengan margin pembiayaan sebanyak 70 peratus.

Selain itu, PNS merancang untuk membawa antara empat hingga enam jenama francais antarabangsa termasuk dari Dubai dan Amerika Syarikat melalui acara yang bakal dianjurkan pada Mac ini dengan jangkaan perniagaan dalam sektor F&B terus menjadi perniagaan utama iaitu kira-kira 50 peratus.

Pada tahun lalu, PNS mengeluarkan pembiayaan berjumlah RM57 juta yang mana 35 peratus daripadanya terdiri daripada industri makanan dan minuman (F&B).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 5:34 AM