Kuching: Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini, bertambah kepada 389 orang, pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Bencana Banjir Bahagian Betong, Shirala Kay berkata, seramai 70 mangsa daripada 18 keluarga kini ditempatkan di Dewan Panglima Rentap, 75 mangsa dari lapan keluarga di Rumah Henry Lubok Bangsa, Ulu Krian dan 126 mangsa dipindahkan ke Dewan Perpaduan Debak.

Manakala di Bahagian Sarikei, petugas di Bilik Gerakan Banjir di Pejabat Daerah Pakan, Donny Bang berkata, 53 mangsa daripada 16 keluarga dari Rumah Jabang, Rumah Japong, Rumah Embas dan Nanga Wak telah dipindahkan ke Dewan Masyarakat Pakan.

Sementara di Sri Aman, seramai 45 mangsa dari 15 keluarga telah dipindahkan ke Balai Raya Skim Skrang, Engkilili. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 10:23 AM