HALANGAN 'gladiators' perlu ditempuhi peserta.
Teks dan gambar Anis Nabilla Md Wazilah.

Acara lasak larian berhalangan Lion Dash yang berlangsung di Taman Rekreasi Kuari di Georgetown, Pulau Pinang, baru-baru ini bukan saja unik, malah sarat dengan cabaran dan halangan, sekali gus menguji kekuatan mental serta fizikal peserta.

Sambil bermandi peluh, seramai 1,600 peserta nekad melaksanakan misi menyempurnakan larian sejauh 10 kilometer (km) anjuran My Triathlon Shop Pulau Pinang.

Perlumbaan yang julung kali diadakan di Pulau Pinang itu adalah medan bagi peminat sukan larian negeri ini yang inginkan kelainan dan cabaran.

Tepat jam 6.45 pagi, peserta dilepaskan dari garisan permulaan dan meneruskan larian secara individu mahupun berkumpulan.

Nampak mudah, tetapi 13 halangan yang terpaksa ditempuhi peserta bukan calang-calang dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal untuk melaksanakannya.

Halangan terbabit termasuk mendaki longgokan tayar, merangkak di bawah jaring, memanah, memikul tayar, melompat halangan, mendaki serta turun anak tangga.

Selain itu, peserta perlu mendaki bukit, berdepan halangan 'gladiators', merangkak dalam kolam lumpur, lubang ais, memanjat tembok serta melepasi sarang labah-labah sebelum menamatkan larian 10km itu.

Apa yang pasti, peserta teruja dan gembira selepas menamatkan larian dan berasa aktiviti riadah ini unik dan bukan sekadar mengisi masa terluang pada hujung minggu.

Peserta, Mardiana Abd Manan, 36, yang mengambil bahagian dalam kategori individu berjaya menamatkan cabaran berkenaan dalam tempoh dua jam.

Katanya, walaupun sudah biasa dengan pertandingan larian, acara Lion Dash diang-gap menarik kerana terpaksa melalui beberapa cabaran dan menguji kemampuan diri sebelum tiba di garisan penamat.

"Saya sudah biasa menyertai acara larian yang dianjurkan di negeri ini dan mencari kelainan dalam aktiviti bersukan dengan mengambil bahagian dalam program ini bersama rakan.

"Ia satu acara yang menarik kerana peserta perlu melepasi pelbagai halangan dan saya berjaya melepasi semua cabaran. Halangan paling sukar adalah memanjat tembok dan jelas, acara ini menguji kekuatan mental dan fizikal peserta," katanya.

Peserta lain, Elizebeth Pentland, 31, berkata, dia dan lima rakannya teruja selepas mendapat tahu mengenai halangan yang menanti dalam acara berkenaan dan berbangga apabila dapat menyempurnakannya.

"Kami mengambil bahagian dalam perlumbaan ini kerana minat bersukan dan ia patut dicuba pengemar acara larian yang inginkan kelainan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Tan Kim Chaun berkata, acara yang julung kali diadakan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu individu dan berkumpulan serta menerima penyertaan dari luar negara iaitu Singapura dan Thailand.

"Sambutan daripada peserta sangat menggalakkan dan tujuan kami menganjurkan acara ini bagi menggalakkan orang ramai bersukan di samping mengeratkan hubungan sesama masyarakat.

"Selain itu, RM5,000 hasil kutipan daripada yuran pendaftaran peserta akan disumbangkan kepada pusat kebajikan Asia Community Service (ACS).

"Kami bercadang mengadakan acara sama pada tahun depan dan mungkin di lokasi berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:33 AM