PETUGAS kesihatan di Glory Hut beri keutamaan kepada pesakit.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin
laila@hmetro.com.my


'Penduduk Lang Nern tidak mahu Yayasan Glory Hut membawa masuk pesakit AIDS tinggal di kampung ini'. Ini ayat yang tertera pada kain rentang putih yang dipasang sejak bulan lalu selepas penduduk kampung membuat undian dan sepakat mahu mengusir kumpulan sukarelawan berkenaan.

Walaupun undian itu tidak diperakui sah me­ngikut undang-undang, ia berkesan untuk mengusir yayasan berkenaan dan 48 orang yang tinggal di situ. Mereka diberikan masa enam bulan untuk keluar dari kampung yang di­diami 500 penduduk tidak jauh dari Pattaya itu.

"Saya tidak benci mereka. Tapi, mereka berada di tempat yang salah," kata Wichien Weruwan, ketua kampung Lang Nern ketika ditemui di pekarangan rumahnya. Lapan penduduk kampung yang berada di situ menganggukkan kepala tanda bersetuju.

"Semua perkara mengenai Glory Hut memberi kesan kepada perniagaan dan cara hidup kami di sini," sambungnya lagi.

Nama Thailand sering diangkat kerana kejayaannya dalam membendung HIV-dapat menurunkan kadar jangkitan dan memberi fokus kepada kesedaran untuk membanteras stigma masyarakat terhadap pesakit. Bagaimanapun, kesepakatan penduduk kampung Lang Nern menentang usaha Glory Hut menyingkap situasi sebenar bahawa diskriminasi terhadap pesakit AIDS dan individu HIV masih wujud.

Penduduk kampung merungut mengatakan Glory Hut tidak mendapatkan kebenaran sebelum berpindah masuk ke situ, lapan bulan lalu. Ramai bimbang kehadiran yayasan berkenaan dan sampah dari situ akan mendedahkan mereka kepada penyakit yang meng­gerunkan itu.

"Kami berasa tertekan sehingga dok­tor daerah terpaksa dipanggil datang ke sini untuk memeriksa kesihatan mental penduduk kampung. Kami juga bimbang kalau-kalau udara di kampung ini turut tercemar," kata timbalan ketua kampung, Prasert Chang­lek.

Seorang warga emas memberitahu anak-anaknya tidak lagi menziarahinya pada cuti tahun baru selepas kehadiran Glory Hut di kampung itu.

Namun masalah yang lebih besar sebenar­nya membabitkan isu wang. Penduduk bimbang kehadiran individu HIV di situ akan menjadi penghalang kemasukan bakal pelabur dan penyewa ke kampung berkenaan yang dulunya aktif dengan aktiviti pertanian. Kini ia menjadi tumpuan dan pilihan ramai khususnya bagi yang tidak mahu bersesak di Pattaya.

"Adakah anda mahu bermalam di rumah yang letaknya betul-betul di sebelah yayasan HIV? Penduduk di sini mahu tinggal dalam suasana yang tenteram," kata Sudarat Lunbab, penduduk yang mengusahakan rumah penginapan dengan 33 bilik.

"Ia benar-benar meng­ganggu kami-dari segi mental dan ekonomi. Saya buat pinjaman kerajaan untuk mengusahakan rumah penginapan ini dan ia memberi kesan besar pada saya," kata wanita itu dengan suara yang semakin nyaring.

Maaf tidak diterima

Notis keluar yang diberikan kepada Glory Hut itu sebenarnya mengejutkan banyak pihak.

"Insiden ini satu pengecualian dan ia sememangnya bertentangan dengan trend di Thailand. Banyak komuniti lain di negara ini yang memberikan sokongan sepenuhnya kepada individu HIV," kata Tatiana Shoumilina, Pengarah Joint United Nations Programme on HIV and AIDS (UNAIDS) di Thailand.

Thailand yang mencatatkan penurunan jumlah jangkitan HIV daripada 143,000 pada 1991 kepada 8, 100 pada 2013 antara beberapa negara di rantau ini yang memberi keutamaan dalam usaha mengurangkan stigma masyarakat terhadap pesakit dan pembawa virus berkenaan, kata Tatiana.

Pengerusi Glory Hut, Pornsawan Christpirak yang juga positif HIV berkata, organisasi itu sudahpun meletakkan papan maklumat yang menerangkan rancangan mereka untuk berpindah ke kampung berkenaan. Bagaimanapun, dia juga mengakui sepatutnya berjumpa penduduk kampung terlebih dulu dan berbincang dengan mereka mengenai rancangan Glory Hut itu.

"Dulu kami tidak buat begitu pun (berjumpa de­ngan penduduk kampung) ketika tinggal di dua tempat lain. Jadi saya tidak tahu kedatangan kami membuatkan orang berasa tidak selesa. Saya sudahpun berjumpa mereka dan meminta maaf secara terbuka dan persendirian. Namun malangnya mereka tidak mahu bercakap dengan kami," sambungnya lagi.

Menjawab aduan bahawa Glory Hut membuang sisa perubatan yang berbahaya di tempat pembuangan sampah umum, Pornsawan berkata, perkara itu tidak benar kerana mereka biasanya melupuskan semua sisa berbahaya di Hospital Bang Lamung, 30 minit pemanduan dari situ.

Sememangnya panda­ngan sinis masyarakat boleh menjadi pembunuh khususnya kepada pesakit dan individu HIV, tidak kira di mana pun mereka berada. Sejak diberikan notis keluar berkenaan, lima penghuni di yayasan itu meninggal dunia dan 18 lagi sudah pulang ke rumah masing-masing.

Glory Hut yang dibiayai oleh penderma dari bandar Pattaya, mengupah lima jururawat untuk membantu dan menjaga 25 penghuni yang masih tinggal di rumah perlindungan berkenaan. Ada sebab mengapa 25 penghuni itu tidak dapat meninggalkan rumah kayu satu tingkat yang bersih dan ceria itu-sama ada terlalu uzur atau mereka hidup sebatang kara.-Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 7:09 AM