London: Penyerang Chelsea, Diego Costa mengaku dia bukannya ‘malaikat’, namun menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan dalam insiden yang menyebabkannya digantung tiga perlawanan.

Pemain berusia 26 tahun itu digantung tiga perlawanan oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas didapati bersalah memijak buku lali pemain Liverpool, Emre Can ketika kemenangan Chelsea pada separuh akhir kedua Piala Liga pertengahan minggu lalu.

Costa yang digantung serta-merta tiga perlawanan oleh FA Jumaat lalu dan terlepas aksi 1-1 pendahulu Liga Perdana, Chelsea menentang pasukan tangga kedua Manchester City kelmarin, bagaimanapun menerima hukuman itu.

Namun, dia menegaskan tidak bermaksud untuk mencederakan Can.

“Perkara utama apabila saya pulang ke rumah, sebelum tidur saya yakin tidak melakukan sebarang kesalahan kerana saya tidak pernah bermaksud melakukannya dan ia bukannya sengaja,” katanya.

“Anda juga boleh melihatnya dengan jelas dalam rakaman video. Tapi ia satu penggantungan. Tentunya saya berasa sedih kerana tidak boleh membantu pasukan. Tapi saya perlu terima dan menghormatinya.”

Penyerang kelahiran Brazil itu berkata: “Saya bukannya seorang malaikat. Anda boleh melihatnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 6:06 AM