MENTERI Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hassan Malek (empat dari kiri) melancarkan Program CBE.
Oleh Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@hmetro.com.my

Kelana Jaya: Coolblog Desert Sdn Bhd (Coolblog) menyasarkan pembukaan 50 cawangan di Malaysia dan negara serantau dalam tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 400 cawangan berbanding 330 cawangan pada masa ini.

Pengarah Urusannya, Eng Ser Chin berkata, 2015 dijangka menjadi tahun yang sibuk bagi Coolblog kerana ia disifatkan masa terbaik bagi meluaskan rangkaian cawangannya meskipun dalam keadaan ekonomi mencabar dan tidak menentu berikutan penurunan harga minyak global dan penyusutan nilai ringgit.

“Kami berhasrat untuk meluaskan pasaran di beberapa negara Asia Barat melalui beberapa program perniagaan dan Indonesia di sebabkan kami sudah pun memiliki lima cawangan di negara jiran itu,” katanya pada majlis pelancaran program Keusahawanan Bumiputera Coolblog (CBE) di sini, baru-baru ini.

Program CBE membabitkan kerjasama antara Coolblog, Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di mana ia diwujudkan bertujuan untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam industri makanan dan minuman di Malaysia melalui program perniagaan francais Coolblog.

Beliau berkata, program julung kali itu menyediakan peluang menjalankan perniagaan kepada 30 usahawan Bumiputera yang berkelayakan dan terpilih dengan latihan, bimbingan dan pembiayaan disediakan tiga pihak terbabit iaitu Coolblog, Unitar serta PNS.

Menurutnya, pengambilan program CBE bermula 1 Februari sehingga 31 Mac 2015 bagi golongan sasaran berumur 21 hingga 45 tahun manakala sesi temu duga diadakan pada pertengahan April bagi semua peserta yang disenarai pendek.

“Kami berharap program perintis seramai 30 usahawan ini bukan sahaja dapat melonjakkan jenama Coolblog dalam pasaran tempatan malah melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera yang berkebolehan dan berdaya saing di pasaran,” katanya.

Coolblog jenama pencuci mulut dan minuman berkonsepkan kios antarabangsa yang memiliki sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan mula ditubuhkan di Singapura pada 2007. Sehingga kini, ia memiliki 330 cawangan di Malaysia dan lima di Surabaya, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Februari 2015 @ 5:24 AM