PENGIKUT Syiah membawa mayat mangsa yang terkorban dalam pengeboman di masjid, Jumaat lalu.

Islamabad: Ribuan penganut Syiah di Pakistan memprotes kejadian pengeboman di masjid mereka di Shikarpur selepas solat Jumaat, kelmarin yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 59 maut.

Di lokasi letupan di Shikarpur acara pengebumian beramai-ramai diadakan juga dihadiri golongan bukan Syiah.

Organisasi Syiah mengadakan mogok duduk di beberapa bandar di Pakistan.

Rakaman televisyen menunjukkan penunjuk perasaan membakar tayar dan menghalang lalu lintas selain menjerit menggesa pengebom terbabit ditangkap.

Mereka mendesak tempat suci mereka dilindungi.

Tiga lagi mangsa bom itu meninggal dunia akibat kecederaan dialami, semalam, kata pegawai polis kanan Abdul Qudoos Kalwar.

Shikarpur yang terletak 500 kilometer dari Karachi, selama ini tidak banyak melihat keganasan yang lazimnya berlaku di kawasan bersempadan Afghanistan.

Kejadian Jumaat lalu menimbulkan kebimbangan golongan ekstremis semakin bertapak di negara berkenaan.

Pegawai polis Saqib Memon berkata, penyiasat semalam mengenal pasti seorang pengebom berkenaan

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ban Ki-moon menyelar kejadian itu, kata jurucakapnya dalam satu kenyataan.

Kumpulan militan Jundallah mengakui bertanggungjawab bagi kejadian itu.

Ia pernah menyerang kumpulan Syiah dan agama minoriti lain termasuk pada 2013 di sebuah gereja di Peshawar yang mengakibatkan 85 terbunuh. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:04 AM