Oleh Ustaz Haslin Baharin

Saya pernah membatalkan puasa dengan sengaja pada Ramadan 2013 kerana beronani di siang hari selama tiga hari. Bagaimana saya ingin menggantikan puasa ini? Adakah saya perlu membayar fidyah? Sehingga kini, saya hanya qada satu daripada tiga hari terbabit.

DANIEL

Cheras

Wujud perselisihan pandangan ulama dalam perkara onani sama ada ia membatalkan puasa atau tidak. Di sini lebih cenderung menyatakan batal kerana tujuan puasa adalah menahan makan, minum dan syahwat.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW melalui Hadis al-Qudsi: "Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya disebabkan kerana Aku, Puasa itu untuk Ku dan Aku yang akan memberi ganjaran dengannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Puasa perlu diqada dan wajib disegerakan. Setiap kelewatan dari tahun ke tahun akan menyebabkan fidyah digandakan. Puasa yang ditangguh perlu dikeluarkan fidyah secupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggal.

Oleh itu yang jelas dua hari puasa yang tinggalkan selama tiga tahun ialah enam cupak makanan dan ia sentiasa bertambah selagi tidak diqadakan puasa itu. Wallahualam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 2:58 AM