RONA dan material penting bagi menentukan kesesuian dengan penampilan diri.
ANTARA pilihan selendang segera yang mudah digayakan.
NIK Nur Hafni Zuliani
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@mediaprima.com.my

Rekaan selendang atau tudung berkembang dengan pesat. Pelbagai pilihan rekaan, potongan, material dan warna ditampilkan dengan cara tersendiri bagi memudahkan wanita yang gemar mengenakan selendang dapat bersiap lebih pantas.

Bertambah mudah apabila rekaan selendang masa kini boleh disesuaikan mengikut bentuk muka di samping lilitan yang sedia dijahit bagi memastikan penampilan kekal kemas sepanjang hari.

Pengasas Almari B&G Nik Nur Hafni Zuliani Mohd Suhaimi berkata, jenamanya lebih memberi fokus terhadap rekaan selendang segera yang menarik bagi memudahkan pengguna mengenakan penampilan yang diinginkan mengikut cita rasa sendiri.

"Material yang digunakan untuk kebanyakan rekaan di butik ini ialah kain kapas lycra kerana ia memiliki ciri yang selesa, sejuk dan terletak kemas ketika digayakan.

"Ia bermakna si pemakai tidak perlu menggunakan sebarang pin untuk memastikan selendang digayakan kemas sepanjang hari.

"Selain itu, fabrik yang digunakan ini juga tidak mudah berkedut dan ia menjadi satu kelebihan kepada pemakai untuk bersiap lebih cepat tanpa perlu menggosok," katanya.

Tambahnya, terdapat juga material lain yang digunakan untuk menyiapkan rekaan selendang segera seperti fabrik sifon, renda, jersi dan satin mengikut kesesuaian rekaan.

Baginya, material yang digunakan sangat penting untuk memastikan setiap rekaan kelihatan lebih menyerlah, kemas dan selesa digayakan.

Pilihan warna yang ada pula tidak terbatas kerana butik berkenaan lebih suka meneroka rona baru untuk setiap keluaran, misalnya koleksi Rania Series mempunyai 20 pilihan warna.

Warna yang ditampilkan tidak tertumpu kepada satu konsep saja kerana ada pengguna yang menyukai rona pastel atau terang. Justeru, pelbagai pilihan warna diketengahkan bagi memastikan setiap pengguna mempunyai pilihan rekaan dan rona mengikut cita rasa mereka sendiri.

Potongan selendang yang digunakan bergantung kepada rekaan itu sendiri sama ada mengikut ukuran selendang paras dada atau lebih labuh.

Keistimewaan selendang segera keluaran butik berkenaan terletak kepada keunikan, keselesaan, bergaya dan paling penting, ia sangat mudah untuk dipakai.

"Kebanyakan wanita sekarang suka mengenakan selendang kerana kelihatan lebih versatil dan moden, tetapi tidak semua yang tahu cara menggayakannya.

"Ada yang tidak tahu cara melilit selendang dengan kemas dan memilih fabrik yang sesuai mengikut bentuk muka. Justeru, rekaan selendang segera ini sedikit sebanyak dapat memudahkan wanita menampilkan gaya menarik dan menyerlah dalam tempoh singkat," katanya.

Tiada lagi alasan lambat atau tidak mahir melilit selendang kerana rekaan butik ini boleh digayakan oleh semua wanita kerana setiap helaian disiapkan dengan rekaan ringkas tetapi elegan, sesuai dipakai ketika bersantai mahupun menghadiri majlis keramaian.

Butik berkenaan menampilkan koleksi selendang segera yang dijahit bersama inner silang untuk pengguna yang memiliki bentuk muka bulat.

Bagi pemakai yang gemar bergaya ringkas, ada juga rekaan selendang asas mengikut kesesuaian bentuk muka.

Perkara asas yang perlu diketahui dalam pemilihan selendang atau pakaian yang sesuai dengan penampilan diri ialah warna pilihan yang sesuai dengan rona kulit.

Sememangnya, pemakaian selendang akan tampak lebih eksklusif jika ditambah dengan elemen perincian yang sesuai seperti kerongsang, jahitan manik atau renda.

"Secara peribadi, ciri penting yang perlu diberi keutamaan semasa memilih rekaan selendang adalah material yang digunakan selesa, ukuran sesuai bentuk muka dan badan serta rekaan bagi menyerlahkan penampilan seseorang wanita.

"Penampilan menarik dapat meningkatkan keyakinan diri seseorang terutama ketika berhadapan dengan orang ramai," katanya.

Selain selendang dan tudung, butik berkenaan turut merancang untuk mengeluarkan koleksi jubah lelaki dan wanita. Semua koleksi terkini boleh dilihat menerusi www.almaribg.com dan Facebook Fanpage, www.facebook.com/almari.bg atau www.instagram/com/almari.bg (Instagram).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:23 AM