PERMATA delima merah menyerlahkan penampilan Amber.
ADELINE bergaya dengan rantai dan anting-anting rubellite labuh.
SAFIR biru dan berlian digayakan Amyra.
MEER Habib (empat dari kanan) dan Datin Zarida Noordin (empat dari kiri) bersama selebriti menyempurnakan majlis memotong reben pada majlis pelancaran.

Serba kontemporari, mewah juga selesa. Penampilan baru di bilik pameran Habib Suria KLCC ini ternyata menyediakan pengalaman membeli-belah yang begitu menarik buat pengunjungnya.

Terletak di aras Concourse, ruang dalaman bilik pameran ini mengetengahkan reka bentuk kontemporari moden yang dilatari dinding fabrik dua ton dan dihiasi krom warna keluli dan gangsa untuk menyerlahkan kilauan berlian dan emas yang dipamerkannya.

Melengkapi wajah baru ini, almari laci pameran diperbuat daripada kemasan kayu kontemporari dengan fabrik warna ungu bertenaga.

Siling pula dicat dengan warna gangsa di bilik pameran ini yang dilengkapi dengan lampu gantung hiasan menyinari dinding cermin berwarna gangsa dengan corak geometri dan logo HABIB yang diperbuat daripada keluli.

Antara kelainannya ialah ruang eksklusif yang diasingkan daripada kawasan umum oleh skrin keluli tahan karat untuk memberikan suasana lebih peribadi buat pengunjung.

Menurut Pengarah Urusan HABIB Datuk Meer Habib, HABIB adalah jenama ikonik tempatan yang sangat beruntung berada di Suria KLCC, satu destinasi yang kerap dikunjungi pelancong dan penduduk tempatan.

"Justeru, ia memberi peluang yang baik untuk kami mempamerkan keindahan seni dan kraf tangan tempatan melalui reka bentuk barang kemas dan bilik pamerannya yang memberikan pengalaman berbeza dan istimewa."

"Kami berada di lokasi ini sejak 1998. Untuk kekal dan relevan dalam industri yang bersaing pesat ini, kami perlu sentiasa mengemas kini penampilan seiring dengan arus masa kini. Barang kemas kami akan sentiasa menjadi sumber inspirasi reka bentuk kami, namun kami menambah sentuhan dramatis dan keunikan yang mencerminkan HABIB.

"Kami juga memperhalusi reka bentuk bilik pameran kami seiring dengan perkembangan selama ini lantas sangat teruja untuk berkongsi ruang yang lebih segar dan serba baru ini dengan pelanggan setia dan baru kami," katanya pada majlis pelancaran penampilan baru bilik pameran Suria KLCC sempena menyambut tahun baru 2015.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran enam selebriti popular tanah air iaitu pasangan adik-beradik Vanessa dan Pamela Chong, pelakon Siti Saleha, Adeline Tsen, Amyra Rosly serta model terkenal Amber Chia yang kelihatan mempersona memperagakan barangan kemas permata dan berlian koleksi terbaru 2015.

Barangan kemas elegan

Pelanggan kini boleh menikmati pengalaman membeli-belah dalam suasana yang lebih menarik dan bergemerlapan di bilik pameran ini. Ia menawarkan koleksi terbaru 2015, selain koleksi kegemaran ramai seperti barangan kemas emas Oro Italia 916 yang direka khas di Itali, barangan kemas berlian Empress dan berlian berjenama antarabangsa Hearts On Fire yang menjanjikan potongan berlian paling sempurna dunia, kini lebih menarik dalam suasana yang elegan di bilik pameran perdana HABIB Suria KLCC.

Koleksi tahun baru

Koleksi kali ini lebih bertemakan batu permata pelbagai warna yang menggambarkan kemeriahan dan keriangan. Segalanya terhasil cetusan inspirasi warna flora dan fauna Malaysia, berkonsep moden dan kontemporari.

Pada majlis pelancaran baru-baru ini, Amyra Rosly mengenakan set permata safir biru dan berlian yang digandingkan dengan rantai tangan lebar dan anting-anting.

Set eksklusif ini antara koleksi istimewa dengan tatahan permata safir biru dan berlian bersaiz lebih besar. Koleksi ini hasil rekaan pereka tempatan, sekali gus menunjukkan hasil kraf tangan tempatan Malaysia hari ini setanding dengan pereka jenama antarabangsa.

Amber Chia pula menggayakan rantai leher (choker) permata delima merah yang begitu mewah dan menawan. Rekaan inspirasi penampilan era Victoria ini gah digayakan ke majlis rasmi. Personaliti si penggemar fesyen begitu menyerlah dengan pemakaian rantai sebegini.

Siti Saleha pula tampak begitu elegan dengan set rantai leher dan gelang tangan, cincin dan anting-anting diperbuat daripada berlian bergemerlapan manakala Adeline Tsen dihiasi anting-anting permata rubellite labuh, rantai labuh bertatahkan batu delima dan berlian, gelang tangan berlian dan sebentuk cincin permata berlian dan delima.

Jika Pamela Chong menggayakan subang emas, rantai labuh Oro Italia 916, gelang emas Oro Italia 916 dan sebentuk cincin emas, Vanessa Chong pula diserikan dengan anting-anting berlian labuh, rantai berlian, rantai tangan berlian dan sebentuk cincin berlian koleksi eksklusif HABIB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:21 AM