COSTA (kanan) tidak dapat beraksi menentang City.
AFP

London: Selepas tersingkir daripada saingan Piala FA, Chelsea serta Manchester City bakal bertembung sesama sendiri di Stamford Bridge malam ini dan pertemuan berkenaan penting bagi menentukan pasukan mana layak diangkat selaku juara Liga Perdana musim ini.

Kedua-duanya disingkirkan pasukan dari divisyen lebih rendah dalam saingan Piala FA minggu lalu, tetapi ketika Chelsea sudah memulihkan keyakinan dengan mengalahkan Liverpool di separuh akhir Piala Liga, kejayaan itu hadir dengan kos cukup tinggi.

Diego Costa dilihat seakan-akan pasti terlepas aksi menentang City selepas didakwa dengan pertuduhan sengaja memijak kaki pemain Liverpoo,l Emre Can manakala Cesc Fabregas serta Filipe Luis mengalami kecederaan.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu tidak mendapat simpati City, penyandang juara yang bakal ketinggalan lapan mata jika tewas malam ini.

Tetapi pengurus Chelsea itu bijak memanipulasi keadaan dan situasi dialaminya bagi memberikan kelebihan kepadanya.

Selain tuduhan ke atas Costa, Mourinho sendiri turut dikenakan denda oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris kerana menuduh sesetengah media sengaja memburukkan pasukannya dengan membuat pelbagai cerita negatif.

Pengurus kelahiran Portugal itu sekali lagi mencari masalah dengan media selepas anak buahnya menang 1-0 ke atas Liverpool dan beliau turut membatalkan sidang media selepas mendapat tahu pertuduhan dikenakan ke atas Costa.

Insiden membabitkan Costa itu menenggelamkan isu kekalahan memalukan Chelsea di tangan Bradford City pada pusingan keempat Piala FA.

Kemenangan ke atas Liverpool pantas melonjakkan semula imej Chelsea dan beliau percaya pendahulu Liga Perdana itu tidak akan terjejas ketika melayan kunjungan City malam ini.

“Pemain pasti kepenatan. Tapi selepas menang, kepenatan itu tidak sama dengan keletihan ketika kalah,” katanya.

“Kami mempunyai perlawanan besar, tapi kejayaan kami layak ke Wembley pasti melonjakkan semangat pemain.”

Sementara itu, lapan kemenangan daripada sembilan perlawanan membolehkan City berkongsi mata dengan Chelsea pada tahun baru, namun seri ketika menentang Everton selain tewas di tangan Arsenal membuatkan skuad kendalian Manuel Pellegrini itu kini ketinggalan lima mata.

Dicampur dengan kekalahan 2-0 di tangan Middlesbrough minggu lalu, City kini mengharungi tiga perlawanan tanpa sebarang kemenangan dalam semua pertandingan.

“Kami perlu kembali memikirkan soal Liga Perdana,” kata Pellegrini. “Kami akan mengharungi perlawanan sukar menentang Chelsea. Saya harap kami dapat memulihkan keadaan dan kembali seperti sedia kala.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:18 AM