Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Takut tetapi keinginan menonton tetap ada! Ada yang sanggup memenuhi pawagam, namun 90 peratus masa tayangan dihabiskan dengan menutup mata atau menjerit.

Itulah yang boleh dikatakan mengenai genre filem seram yang diminati semua kaki wayang di seluruh dunia.

Sebagaimana kita tahu, filem seram sering tampil dengan jalan cerita yang suspen, jelmaan imej mengerikan serta sistem bunyi menyeramkan yang boleh mendebarkan jantung.

Bagaimana genre ini tetap kekal menjadi pilihan peminat yang sudah muak dan ingin lari dari genre filem cinta yang memualkan, aksi dan peperangan yang tiada kesudahan.

Sejarah filem seram di Malaysia juga bermula sejak era 1950-an dan RAP mengimbas kembali filem seram yang memberi impak kepada penonton dari segi jalan cerita serta kutipannya.

Sebahagiannya juga bukan sekadar seram, tetapi turut diselitkan dengan elemen komedi.

Pontianak (1957)

Boleh dikatakan filem seram Melayu pertama yang mendapat sambutan hangat.

Filem arahan BN Rao ini menampilkan primadona filem Melayu ketika itu iaitu Datuk Maria Menado dan M Amin.

Filem ini mendapat sambutan luar biasa sehingga berjaya menyertai Festival Filem Asia Pasifik di Tokyo, Jepun pada tahun sama.

Rentetan kejayaan yang dikecapi, Maria turut muncul dalam sekuelnya iaitu Dendam Pontianak (1957) dan Sumpah Pontianak (1958).

Orang Minyak (1958)

Filem terbitan Cathay Keris arahan Datuk L Krishnan ini menampilkan Datuk S Roomai Noor, Salmah Ahmad, Nordin Ahmad, Datuk Mahmud June dan M Amin.

Ia berasaskan kisah legenda Melayu dan turut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat kerana ceritanya dianggap releven dengan suasana persekitaran ketika itu.

Sumpah Orang Minyak (1958)

Filem arahan Tan Sri P Ramlee terbitan Malay Film Productions ini menampilkan barisan pelakon seperti P Ramlee (Si Bongkok), Salleh Kamil (Buyong), Shariff Dol (Syaitan), Sri Dewi (Afida), Marion Willis (Puteri Bunian), Daeng Idris (Bang Selamat), Raja Hamidah dan ramai lagi.

Sumpah Orang Minyak mendapat sambutan hangat dan pernah menyertai Festival Filem Asia Pasifik ke-5, di Manila pada tahun sama dan berjaya menang kategori Sinematografi Hitam Putih Terbaik menerusi A Bakar Ali.

Ceritanya mengenai seorang pemuda bernama Si Bongkok yang tinggal di Kampung Tualang Tiga. Dia disisihkan kerana rupanya yang hodoh. Bagaimanapun dia akhirnya dibawa masuk ke alam bunian dan berjaya menukarkan wajahnya menjadi cantik dengan bersyarat.

Si Tora Harimau Jadian (1964)

Filem terbitan Merdeka Film Productions, arahan P Ramlee ini membariskan dirinya sebagai Dr Affendi, Mahmud June (Si Tora), Rosmawati (Naemah), Ali Rahman (Tuan OCPD) dan Minah Hashim.

Ia mengisahkan penduduk Kampung Kiambang yang hidup terpencil dan mempercayai perkara tahyul di mana perbuatan jahat yang terjadi disangka oleh mereka datangnya dari jin dan syaitan.

Toyol (1980)

Filem arahan Malik Selamat ini membariskan pelakon Sidek Hussain, Mahmud June, Rohani Yahya, Normadiah, Yahya Sulong, Ayapan, Sharifah Hasnor dan ramai lagi.

Filem ini mencetuskan sensasi menerusi watak Bachok, seorang buruh binaan yang malas dan membuat perjanjian dengan hantu toyol. Toyol makhluk halus bersetuju untuk mencuri bagi menyenangkan hidup tuannya. Tetapi sebagai balasan, toyol itu mahukan seorang perempuan, iaitu adik ipar Bachok.

Perjanjian Syaitan (1981)

Filem arahan S. Sudarmaji terbitan Darul Makmur Film Productions ini menampilkan pelakon S Rosley, Dinda Sumantri, Azean Irdawaty, Sharifah dan ramai lagi.

Ramai menganggap Perjanjian Syaitan adalah filem Melayu paling seram pernah dihasilkan setakat ini.

Filem ini turut menampilkan lakonan hebat Azean dan filem keempat lakonannya selepas merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Langit Petang.

Kisahnya mengenai Tambun yang membunuh Tok Kadim, penghulu sebuah kampung dan memberitahu Tok Kadim mati kerana kemalangan. Kematian Tok Kadim membuat penduduk kampung berdukacita dan melantik Tambun sebagai Penghulu.

Sejak itu pelbagai kejadian buruk berlaku.

Rahsia (1987)

Filem arahan Othman Hafsham ini menampilkan Noor Kumalasari, Shukery Hashim dan ramai lagi.

Ceritanya mengisahkan sepasang suami isteri yang baru saja kehilangan anak perempuan mereka berpindah ke banglo lama.

Bagaimanapun ketika di sana, mereka dihantui roh seorang kanak-kanak yang dibunuh di dalam banglo itu.

Mistik (2003)

Filem terbitan MIG Production arahan Prof Datuk A. Razak Mohaideen ini menampilkan pelakon Ezad Lazim, Cico Harahap, Lisdawati, Rita Rudaini, Mas Naina dan Al-Fathir Muchtar.

Ia menceritakan mengenai sekumpulan pelajar melakukan kajian di sebuah pulau yang mistik dan berhadapan dengan pelbagai perkara menyeramkan.

Ia juga boleh dikatakan sebagai filem seram alaf baru pertama yang mendapat sambutan apabila mencatat kutipan sebanyak RM2 juta.

Pontianak Harum Sundal Malam (2004)

Filem arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba ini membariskan pelakon hebat iaitu Maya Karin, Azri Iskandar, Datuk Rosyam Nor, Datuk Eizlan Yusof, Kavita Sidhu, Sahronizam, Nanu, Ida Nerina, Sharifah Aleya, Haiza dan ramai lagi.

Maya Karin membawakan dua watak iaitu Maria dan Meriam. Sambutan hebat yang diberikan membuatkan Shuhaimi menghasilkan pula sekuel cerita ini berjudul Pontianak Harum Sundal Malam II.

Filem ini juga cemerlang dalam Festival Filem Malaysia ke-17, 2004 yang menyaksikan Rosyam memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik-Rosyam Nor, Meor Hashim Manap (Penyunting Terbaik) serta Maya sendiri ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-49, 2004 di Fukuoka, Jepun.

Jangan Pandang Belakang (2007)

Filem terbitan MIG Production, arahan Ahmad Idham ini membariskan pelakon Pierre Andre, Intan Ladyana, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Rio Elani dan Hafidzuddin Fazil.

Filem ini menempa sejarah dalam industri perfileman negara kerana berjaya meraih kutipan tiket filem Melayu tertinggi di Malaysia sebanyak RM6.33 juta (sehingga 6 Mei 2007) dan kutipan mencecah RM7.4 juta di tiga negara iaitu di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Kutipan tiket hari pertama filem ini juga mencatat sejarah baru negara dengan mendapat kutipan mencecah RM 410,000 menewaskan filem superhero Cicak Man yang pernah mengutip RM350,000 pada hari pertama tayangan di pawagam.

Dalam Festival Filem Malaysia ke-20 di Pulau Pinang pada 2007 filem ini memenangi anugerah Box Office.

Filem ini turut mencatat sejarah hitam apabila pelakon lagak ngerinya, Nazari Omar Bakri, terbunuh apabila gagal terjun ke atas longgokan kotak yang disusun ke atas tanah dari tingkat tiga. Dia adalah pelakon pengganti untuk watak Pierre dalam filem ini.

Hantu Kak Limah Balik Rumah (2010)

Filem terbitan Tayangan Unggul arahan Mamat Khalid ini membariskan Awie, Zami Ismail, Johan Raja Lawak, Usop Wilcha, Delimawati, Ummi Nazeera, Pekin Ibrahim, Awie, Soffi Jikan dan Avaa Vanja.

Filem ini sebenarnya lebih menjurus kepada genre komedi seram, namun berjaya diterima baik oleh peminat sehingga menjadikannya berjaya mencatat kutipan terbaik.

Filem ini turut mencipta sejarah apabila mencatat kutipan RM7.9 juta sekali gus menjadikannya sebagai filem terbitan Tayangan Unggul yang paling mendapat sambutan.

Ia juga mendapat empat pencalonan dalam Festival Filem Malaysia Keempat menerusi kategori Pengarah Terbaik (Mamat Khalid), Pelakon Lelaki Terbaik (Awie), Cerita Asal Terbaik (Mamat Khalid) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Usop Wilcha).

Khurafat (2011)

Filem terbitan Skop Productions arahan Syamsul Yusof ini membariskan dirinya sendiri serta Liyana Jasmay, Sabrina Ali dan Along Eyzendy sebagai pelakon.

Khurafat mengisahkan perjanjian terlarang dan salah satu bentuk penyelewengan dalam akidah Islam diantara manusia dan syaitan, sesuatu yang amat ditegah dalam agama suci kita.

Ceritanya berkisarkan mengenai Johan, pemuda yang bekerja sebagai Pembantu Hospital. Dia berkahwin dengan Aishah dan pada awal perkahwinan rumahtangga mereka bahagia.

Namun, tanpa disangka trauma melanda dipertangahan jalan. Mereka sering diganggu oleh lembaga aneh. Bermacam-macam usaha sudah dilakukan namun gangguan itu tetap berterusan.

Khurafat turut mencatat sejarah apabila diangkat sebagai antara filem seram paling laris dengan kutipan sebanyak RM8 juta.

Villa Nabila (2015)

Filem terbitan Skop Productions arahan Syafiq Yusof ini menampilkan pelakon Pekin Ibrahim dan Tisya Shamsir sebagai pelakon utama. Syafiq bijak menghasilkan filem ini sebaik negara heboh dengan berita kehilangan remaja di mahligai usang Villa Nabila di Johor Bahru.

Villa ini dikatakan menyimpan 1,001 cerita misteri tersendiri dan pelbagai versi dan berita tersiar membuatkan ia mendapat perhatian umum. Dengan hanya mengeluarkan bajet kecil, filem ini berupaya mencatat keuntungan buat Skop Productions.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 January 2015 @ 5:08 AM