SEORANG penduduk Palestin menunaikan solat di depan polis Zionis di jalan raya di Bandar Lama, timur Baitulmaqdis, kelmarin selepas rejim Yahudi melarang penduduk berusia bawah 50 tahun memasuki Masjid Al-Aqsa untuk bersolat.

Ramallah: Presiden Mahmoud Abbas semalam menggesa rakyat Palestin menghalang pendatang Israel memasuki Masjid Al-Aqsa.

Beliau juga menggesa mereka mengguna apa juga cara untuk melindungi masjid ketiga paling suci umat Islam itu.

Mahmoud berkta demikian beberapa hari selepas polis Israel bertempur dengan penunjuk perasaan Palestin yang membantah lawatan penganut Yahudi melawat perkarangan masjid itu.

“Mereka (Yahudi) mesti dihalang daripada memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa dengan apa cara sekalipun. Ini Aqsa kita dan mereka tidak berhak untuk memasuki dan mencemarnya,” kata Mahmoud.

Presiden Palestin itu bercakap di satu persidangan di Ramallah, Tebing Barat.

Mahmoud menegaskan, mempertahankan Al-Aqsa adalah sama dengan mempertahankan Baitulmaqdis yang rakyat Palestin hendak jadikan ibu negara mereka.

“Baitulmaqdis amat berharga kepada kita. Ia adalah ibu negara Palestin. Tanpanya tidak akan ada sebuah negara Palestin.

“Adalah penting bagi kita bersatu bagi mempertahankan Baitulmaqdis,” kata Mahmoud.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:02 AM