BETTY (tengah) mengusahakan Star Hype Fiesta.
ERMA berniaga sambil dibantu anaknya.
UMIE dan suami melihat barangan jualan.
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Perkembangan pusat perniagaan setempat atau bazar diusahakan pihak perseorangan mahupun badan korporat membuka mata umum mengenai usaha dilakukan ramai golongan artis untuk menyertai bidang perniagaan.

Turut menyertai perkembangan baru dan positif ini ialah adik-beradik pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima, Umie Aida dan Betty yang aktif sama ada menyertai atau mengusahakan bazar di sekitar Kuala Lumpur.

Dalam kesibukan berkarya, Erma atau nama sebenarnya Fatima Rahmad, 45, masih mempunya masa mengusahakan perniagaan dalam talian @skidzboutique menyediakan pakaian kanak-kanak dan tudung, @ef_by_ermafitama.

Betty pula mengusahakan Star Hype Fiesta di Empire Damansara baru-baru ini, sekali gus memberi peluang kepada Selebriti Metro Ahad meninjau rakan artis berniaga.

Jika Erma dan Betty sibuk berniaga malam itu, Umie pula datang memberi sokongan dan turut mengambil peluang meninjau barang dijual. Turut berniaga, pelakon Nabila Huda.

Umie yang datang bersama suaminya Datuk Seri Khairudin Abu Hassan akui bangga dengan usaha dilakukan adik bongsunya kerana berani mengorak langkah dan memilih mengembangkan perniagaan diusahakan.

"Saya memang tidak terbabit dengan perniagaan tetapi sebagai ahli keluarga dan orang paling rapat dengan mereka, tentu saya sentiasa menyokong usaha dilakukan.

"Begitu juga dengan usaha dilakukan anak Erma iaitu Nurain, 10, dan Citra, 14. Bayangkan dalam usia masih mentah sudah tahu apa mereka mahu lakukan. Saya bangga kerana kecil-kecil sudah pandai mencari duit sendiri.

"Melihat perkembangan itu, saya turut membantu Erma dengan memberi pandangan dan pendapat membabitkan perniagaan dikendalikan.

"Ternyata darah ahli perniagaan dalam diri ibu juga mengalir dalam diri adik-beradik lain," katanya yang bangga usaha ibunya melakukan perkara itu sejak dulu kini diikuti anak dan cucunya.

Ini diakui Erma kerana pembabitan ahli keluarganya dalam perniagaan bukan sesuatu yang asing memandangkan ibunya juga melakukan perkara itu sejak dulu. Ibaratnya ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

"Selain saya, adik beradik lain juga sudah lama melakukannya dan perniagaan tudung diusahakan bersama adik ipar. Sebagai ahli keluarga, saya sentiasa menyokong usaha murni adik-beradik, termasuk anak perempuan saya yang mengusahakan @skidzboutique.

"Betty yang memulakan perniagaan biskut jenama sendiri dengan menyertai pelbagai bazar, turut membuahkan minat kepada dua anak perempuan saya.

"Pengalaman menyertai pelbagai bazar juga memberi idea kepada kami mencuba sendiri mengelolakan pusat perniagaan setempat di Lambang Santai, Istana Budaya pada Ramadan lalu.

"Di situ juga Nurain dan Citra berjinak-jinak dengan menjual barangan untuk rakan sebaya mereka. Sambutan diterima sungguh menggalakkan, menyebabkan mereka meneruskan usaha perniagaan secara talian," katanya.

Kata Erma, usaha dilakukan anaknya bukan saja melatihnya menjadi ahli perniagaan satu hari nanti, malah bagus untuk sekolah mereka apabila dilatih mengira.

"Saya mahu mereka tahu kira duit, jumlah keluar masuk stok dan harga serta melihat akaun. Paling penting, anak tahu apa dia untung dan rugi.

"Jika usaha ini berterusan dan itu yang dipilih, saya akan memberi perangsang seperti mana dilakukan Betty yang memulakan semua ini," katanya.

Betty pula menjelaskan, menerusi pengalaman diperoleh menyertai pelbagai bazar yang dianjurkan sebelum ini, dia dan teman, Ardy Damis atau Ardy dan Rosmunira Rashid (Nira) kini mengorak setapak lagi dengan menganjurkan Star Hype Fiesta.

"Saya bersama Ardy dan Nira mempunyai impian menjadikan tapak bazar Star Hype Fiesta sebagai satu jenama dan penganjurannya dibuat setiap bulan. Ini saja cara yang kami rasakan dapat membantu pengusaha kecil untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Menerusi pengalaman menyertai pelbagai penganjuran bazar, Betty lihat ada beberapa kekurangan timbul, menyebabkan mereka memilih untuk memberi pilihan dan tapak perniagaan berbeza berbanding apa dilakukan beberapa pengusaha sebelum ini.

"Kalau kita lihat, kebanyakan Bazar hanya tertumpu kepada peniaga dan pengunjung membeli barang semata-mata. Kadangkala ia merimaskan.

"Star Hype Fiesta cuba mewujudkan suasana berbeza dengan memberi tumpuan supaya tapak perniagaan turut menjadi laman santai seisi keluarga.

"Mereka yang datang ke Stary Hype Fiesta pasti dapat merasakan perbezaan itu, di mana ia menyediakan ruang untuk ibu bapa dan kanak-kanak menghabiskan masa melakukan pelbagai aktiviti.

"Bagi remaja pula, kami turut memberi ruang kepada mereka menunjukkan bakat dalam bidang seni mahupun hiburan," katanya.

Nabila tak kejar untung

Dalam keadaan manusia berpusu-pusu di Star Hype Fiesta, kelihatan sekumpulan orang beratur di satu gerai dan sabar menanti untuk membeli juadah.

Kelihatan pelakon popular, Nabila Huda sibuk membakar shepherd pie dan lasagna yang diminta pelanggan. Ini kali kedua pelakon utama supertele Saloma Biopic itu menyertai bazar dan menjual juadah daripada air tangannya sendiri.

Nabila yang turut ditemani anaknya, Keisha berkata, dia menyertai Star Hype Fieasta selepas memperoleh idea menjual dua juadah kegemarannya itu pada saat akhir.

"Saya menghubungi Betty sehari sebelum Star Hype Fieasta berlangsung dan kebetulan ada rezeki saya, tapi sebenarnya saya berniaga ini bukan serius tapi lebih kepada mahu berkongsi minat dengan peminat," katanya.

Cerita Nabila, jika ada kelapangan dia lebih gemar menghabiskan masanya di dapur dengan mencuba pelbagai resipi masakan. Paling digemarinya ialah makanan Barat.

"Selalunya apabila memasak satu-satu resipi itu, saya akan rakam dan memuat naik di laman sosial. Kebanyakan peminat meluahkan rasa minat mereka dan ingin merasa.

"Puas saya berfikir bagaimana hendak melunaskan pemintaan mereka. Apabila Betty menawarkan saya berniaga di tapak bazar ini, terus saya terfikir mengapa tidak saya menjual juadah hasil masakan seperti diminta peminat sebelum ini," katanya.

Sebelum ini, anak lagenda rock, Amy Search itu melakukan perkara sama hampir lima tahun lalu. Katanya, apa dilakukannya bukan mahu mengaut keuntu­ngan semata-mata kerana makanan dijual tidak mahal.

"Pada saya, asal peminat membeli, merasa dan memuji sedap, saya berasa puas. Kepuasan itu juga yang mendorong saya untuk tampil menyertai dan berniaga di bazar ini.

"Ia hanya saya lakukan jika ada kelapangan dan tidak sibuk di lokasi. Jika ada lagi peluang, saya pasti akan melakukannya lagi untuk berkongsi minat dengan peminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:02 AM