ABE bertegas enggan tunduk kepada militan.
AP

Jordan: Negara Islam (IS) semalam melanjutkan tempoh akhir untuk membunuh atau membebaskan wartawan bebas Jepun dan seorang juruterbang tentera udara Jordan bagi membolehkan kerajaan terbabit memenuhi tuntutan militan berkenaan.

Melalui mesej audio berbahasa Inggeris dibaca seorang lelaki dipercayai Kenji Goto itu, IS memberi peluang sehingga senja semalam (waktu tempatan) untuk Amman membebaskan wanita pengebom berani mati, Sajida al-Rishawi.

Tempoh awal diberi IS berakhir tengah malam kelmarin.

Berikut beberapa fakta mengenai krisis itu:

TEMPOH AKHIR SEBELUM MATAHARI TERBENAM

Mesej dibaca Goto menyatakan, Left Muath al-Kaseasbeh akan dibunuh jika Amman tidak membebaskan Sajida. Wanita itu dituntut dibawa ke sempadan Turki menjelang senja.

Pada masa sama, Tokyo mengkaji kesahihan rakaman audio itu namun berpendapat, “ada kemungkinan suara itu ialah Goto.”

IS menahan Muath selepas pesawat itu terhempas pada Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, belum jelas sama ada IS akan membebaskan seorang atau kedua-duanya tahanan itu sebagai pertukaran dengan Sajida.

PERTUKARAN TUNTUTAN

Krisis ini bermula 20 Januari lalu selepas IS mengancam untuk membunuh Goto dan seorang lagi tebusan Jepun, Haruna Yukawa kecuali Tokyo membayar wang tebusan AS$200 juta (RM723 juta) dalam masa 72 jam.

Apabila tempoh diberi berakhir, IS memancung Yukawa.

Sabtu lalu, IS menukar tuntutan dengan meminta Sajida dibebaskan.

Mereka memberi tempoh selama 24 jam.

DULUAN

Pertukaran banduan boleh dijadikan rujukan dalam rundingan dengan IS pada masa depan.

Sebelum ini tuntutan pembebasan banduan tidak dilakukan secara terbuka dan Jordan - negara sekutu rapat Amerika Syarikat tidak berunding dengan pengganas.

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pula berikrar enggan tunduk kepada tuntutan pengganas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:06 AM