Jakarta: Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang terhempas ke dalam laut bulan lalu di Selat Karimata disahkan berada dalam keadaan baik dan semua anak kapal mendapat tauliah untuk terbang, menurut Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Indonesia (NTSC) hari ini.

Ketua penyiasat badan itu, Mardjono Siswosuwarno berkata, rakaman data penerbangan yang disediakan memberi gambaran jelas mengenai apa yang berlaku pada saat-saat terakhir sebelum pesawat berkenaan terhempas.

Beliau berkata, pembantu juruterbang sedang mengendalikan pesawat berkenaan ketika nahas itu berlaku, yang mengorbankan semua 162 penumpang.

Mardjono berkata, rakaman data penerbangan dan suara kokpit menunjukkan bahawa pesawat itu terbang pada altitud atau ketinggian yang stabil sebelum nahas.

"Pesawat Airbus A320 terbang pada ketinggian dan had berat yang dibenarkan sebelum terhempas. Manakala anak kapal mempunyai lesen dan sijil perubatan yang sah," katanya.

Pada 12 Januari lalu, pasukan BASARNAS menemui rakaman data penerbangan (FDR) manakala rakaman suara kokpit (CVR) ditemui pada keesokannya di sekitar perairan Selat Karimata. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 3:04 PM