Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap penarik kereta yang didapati bersalah kerana mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 96.1 gram pada Ogos 2011.

S Marimuthu, 30, didapati bersalah mengedar dadah di restoran di Simpang Pulai, di sini kira-kira 11.45 malam 23 Ogos, 2011, selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie dan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin membuat keputusan berkenaan selepas berpuas hati dengan hujah pendakwaan yang lebih terperinci berbanding hujah pembelaan yang keseluruhannya kurang kredibel.

Menurutnya, tertuduh didapati bersalah terhadap kesalahan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pihak Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, manakala tertuduh diwakili Ranjit Singh Sandhu.

Ranjit berkata, pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan itu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 11:30 AM