PREMIS yang diperiksa oleh pihak Imigresen dan SPRM Negeri Sembilan.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan berjaya melumpuhkan sindiket pemalsuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang beroperasi di Brickfields, Kuala Lumpur.

Dalam Ops Brickfields bermula 3 petang semalam, seorang lelaki warga India berusia 30-an ditahan selepas disyaki menjalankan aktiviti pemalsuan PLKS.

Pengarah Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata, operasi itu dijalankan hasil penemuan beberapa PLKS palsu di Seremban, di sini, dan siasatan lanjut mendapati pas terbabit diperoleh melalui sindiket yang beroperasi di Brickfields, Kuala Lumpur.

"Bertindak atas siasatan itu, kita melakukan serbuan di premis berkenaan dan menahan seorang lelaki warga India disyaki melakukan pemalsuan PLKS. Kita turut merampas beberapa salinan PLKS yang diedit menggunakan perisian Photoshop, dua set komputer dan mesin pencetak.

"Kita juga menahan beberapa warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Selain itu, SPRM turut menahan seorang lelaki warga India dan dua lelaki tempatan kerana menawarkan rasuah sebanyak RM3,000 dan RM2,500 kepada dua pegawai imigresen sepanjang operasi dijalankan.

Operasi itu berakhir 1 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 9:10 AM