Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my


Johor Bahru: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mohd Farizal Marlias bersemangat memberi persembahan terbaik menghadapi saingan Liga M selepas dikurniakan puteri sulung, baru-baru ini.

Yang pasti aksi Johor DT berdepan Pahang pada perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Larkin, Sabtu ini amat dinanti kerana mahu Harimau Selatan meleraikan badi tanpa kemenangan sejak musim lalu ketika berdepan Pahang.

Dia yang membantu Harimau Malaya muncul naib juara Piala Suzuki AFF menyerahkan status penjaga gol utama Johor DT kepada ketua jurulatih Bojan Hodak tatkala skuad itu turut diperkuatkan Mohd Izham Tarmizi dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah menjaga gawang gol.

“Saya lihat Johor DT memiliki barisan penjaga gol mantap musim ini dan pasti menghadirkan saingan sihat antara saya, Izham dan Al-Hafiz bagi merebut tempat, namun kami sentiasa bertukar pandangan untuk memantapkan lagi persembahan.

“Sudah tentu saya akan beri persembahan terbaik jika diberi peluang menentang Pahang selepas mendapat bimbingan jurulatih penjaga gol Antonio Sisic,” katanya.

Apapun Farizal yakin persiapan rapi dilakukan Hodak mampu menjelmakan keajaiban musim ini.

Katanya, hasrat menjulang Piala Sumbangsih memang kuat selepas dia melakukannya ketika bersama Negeri Sembilan pada 2011 dan mahu mengulangi kejayaan itu dengan Johor DT pula.

Malah Farizal berazam menyekat gerakan berbahaya skuad Tok Gajah yang pasti mahu mempertahankan piala itu selepas memenanginya musim lalu.

“Pahang pasukan kuat di semua posisi dan kita perlu berhati-hati dengan corak serangan mereka di posisi kiri dan kanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 January 2015 @ 8:00 AM