Oleh Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Selepas 10 tahun, Anugerah Carta Nasyid Ikim FM kembali dengan wajah dan wadah baru. Kali ini, anugerah yang memartabatkan penggiat seni muzik nasyid ini dikenali sebagai Anugerah Nasyid Ikim FM.

Pengumuman itu pasti membawa khabar gembira kepada penggiat muzik nasyid yang sudah lama menantikan satu pentas prestij yang mengiktiraf karya mereka.

Kali pertama dianjurkan pada 2004 menyaksikan kumpulan Rabbani muncul juara melalui lagu Handzalah, manakala kumpulan Mirwana (Hikmah Kembara) menjuarai edisi 2005.

Bagaimanapun, selepas itu tidak ada lagi penganjuran kerana masalah kos yang besar dan tidak mudah melaksanakannya tanpa komitmen semua pihak.

Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Dr Nik Roskiman Abdul Rahman berkata, sejak Ikim FM memperkenalkan carta Ikim FM pada 11 Oktober 2002, rancangan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penggiat muzik tanah air.

Katanya, pihaknya menganjurkan anugerah itu pada 2004 dan 2005 tetapi selepas itu menghentikannya.

"Kami tidak dapat menyambung anugerah itu kerana masalah kos yang besar dan tidak mudah melaksanakannya tanpa komitmen semua pihak.

"Kosnya bukan sedikit dan waktu itu Ikim FM masih baru, jadi sukar mencari tajaan. Selepas 10 tahun, Ikim FM mula dikenali ramai, malah mencatat pendengar tertinggi berbanding stesen radio lain kerana skop pendengar radio berbeza dari radio komersial lain.

"Alhamdulillah, kami mendapat tajaan untuk penganjuran Anugerah Nasyid Ikim FM kali ini," katanya.

Nik Roskiman berkata, setakat ini mereka baru mendapat tajaan dari segi lokasi, siaran dan beberapa tajaan kecil. Pun begitu, ia belum mencapai sasaran dianggarkan RM1 juta, termasuk hadiah wang tunai, trofi serta hadiah lain.

"Kami masih mengalu-alukan segala bentuk tajaan bersesuaian untuk memeriahkan anugerah berprestij ini," katanya.

Pada sidang media pra-pelancarannya minggu lalu, 30 lagu diumumkan ke peringkat saringan akhir penjurian profesional yang dilakukan sejak Januari 2013 sehingga Jun 2014.

Antara lagu terpilih ialah Ada-Mu dan Sahabat (Najwa Latif), Aku Yang Berdosa (Shahir AF), Al-Haq... Yang Satu (Mawi feat AC Mizal), La Tahzan (Heliza Helmi), Bukan Milik Kita (6ixth Sense) dan Tangis Sebatang Tamar (Daqmie).

Daripada jumlah itu, hanya 10 lagu akan dipertandingkan di peringkat akhir Anugerah Nasyid Ikim FM yang akan disiarkan secara langsung melalui TV Hijrah di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 10 Januari 2015.

Sementara itu, Penerbit Carta Ikim FM, Mohd Erwan Johari berkata, ramai tidak sedar nasyid sudah lama mendapat tempat di hati pendengar, malah banyak kumpulan nasyid diwujudkan atas permintaan dan kesedaran ramai.

"Sebelum ini, genre dan skop muzik nasyid 'sempit' tapi kemudian diperluaskan dengan kepelbagaian genre tapi masih kekalkan lirik berunsur nasihat serta ketuhanan," katanya.

Katanya, ada penasyid yang muncul secara solo dan dari pelbagai latar belakang. Walaupun ada pelbagai genre muzik seperti pop, ballad, asli dan R&B, Anugerah Nasyid kali ini akan diadili melalui tiga faktor utama iaitu kualiti lagu, garapan lirik bermanfaat dan vokal.

"Tidak ada pecahan genre, semuanya dijadikan satu kategori tapi mungkin diwujudkan kategori tertentu seperti kategori vokal atau persembahan terbaik.

"Buat masa ini kami masih dalam proses memperincikan skop penjurian dan kategori dipertandingkan," kata Mohd Erwan yang juga penyampai radio segmen carta sambil mengakui setiap tahun mereka mendapat banyak lagu yang dihantar syarikat rakaman dan persendirian.

"Ini membuktikan irama nasyid tidak pernah sunyi seperti didakwa beberapa pihak kononnya ia tenggelam dari arus muzik perdana.

"Antara faktor terjadinya tanggapan ini ialah kurang pendedahan dari media massa, walhal jika dilihat penggiat muzik dari arus perdana juga mula menghasilkan muzik berunsur ketuhanan untuk mendapatkan perhatian pendengar.

"Selain faktor tajaan, kami menganjurkan kembali anugerah ini kerana mahu hasil karya sebegini terus hidup. Sayang kalau lagu hanya disiarkan tapi tidak diberi pengiktirafan.

"Kepercayaan ini membuatkan kami yakin Anugerah Nasyid Ikim FM akan mendapat sambutan banyak pihak, terutama penggiat muzik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 2:51 AM