Oleh Dang Setia

Tidak mudah saya hendak lupakan bekas tunang. Kami putus kerana ibu saya dan keluarga sering berselisih pendapat mengenai belanja kahwin serta hantaran.

Tunang saya bekerja sendiri dan pendapatannya tidak menentu. Namun ibu beranggapan tunang adalah kontraktor berjaya dan meminta hantaran lebih RM10,000 bukan masalah buatnya.

Berbeza dengan keluarga tunang, mereka menyangka saya jenis 'materialistik‚ menyebabkan kedua-dua pihak bertegang leher ketika hari perbincangan majlis kahwin.

Saya dan tunang turut terheret ke dalam pergaduhan lalu kami mengambil jalan berpisah sementara sebelum putus dua bulan lalu.

Saya sungguh sedih kerana majlis yang bakal berlangsung dibatalkan akibat campur tangan orang lain, malah kami berpisah. Saya masih sayangkan dia, namun dia terlalu mudah mencari pengganti apabila majlis yang sepatutnya menjadi majlis menyambut menantu di sebelahnya tetap diteruskan, cuma pengantinnya bertukar.

Saya terkilan dan hati benar-benar hancur. Tiga minggu lalu, bekas tunang telefon dan tetap mengatakan mahu mengahwini saya, sedangkan keluarganya sudah mengatur majlis perkahwinan dengan calon lain.

Wajarkah saya menerima lamarannya buat kali kedua dan 'merampas‚ dia daripada calon pilihan keluarganya?

FARISYA

Alor Star, Kedah

Simpati Dang Setia dengan masalah yang menimpa saudari. Inilah akibatnya apabila keegoan menjadi juri kepada setiap penyelesaian konflik.

Sebagai orang tua, mereka seharusnya memikirkan situasi saudari serta tunang. Letak urusan dalam mengurus hari perkahwinan terhadap bakal pengantin sendiri dan bukan masuk campur secara total.

Saudari dan tunang bukan anak kecil yang masih bertatih, malah cukup dewasa menilai yang mana baik mahupun buruk. Dalam soal ini, saudari serta tunang perlu mengambil langkah lebih agresif.

Tindakan berkenaan bertujuan menasihati orang tua dan bukan menderhaka. Selain itu, ambil pendekatan memujuk serta memberi gambaran baik mengenai keluarga tunang terhadap keluarga sendiri.

Selain itu, saudari dan tunang perlu lebih berani dan terbuka dalam meluahkan perasaan kurang senang dengan sikap mereka yang terlalu campur tangan. Minta keluarga kedua-dua pihak memberi ruang dan memahami situasi saudari serta tunang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 2:32 AM