Manila: Ketua unit khas pasukan polis Filipina digantung kerja berikutan cara mengendalikan operasi menangkap dua militan Islam yang dikehendaki sehingga mengakibatkan kira-kira 40 komando polis terbunuh, menurut menteri dalaman semalam.

Setiausaha kerajaan tempatan dan dalam negeri, Manuel Roxas juga mengarahkan siasatan dilakukan selepas operasi itu bertukar menjadi pertempuran selama 12 jam.

Sekurang-kurangnnya 40 komando terkorban manakala 12 yang lain cedera dalam pertempuran dengan militan Islam di bandar Mamasapano, Maguindanao Ahad lalu, lapan militan turut terbunuh dalam gencatan senjata yang berlangsung selama tiga tahun itu.

Seramai 400 anggota komando terlibat dalam operasi menangkap dua militan yang mendapat perlindungan daripada pejuang kumpulan pemberontak Islam terbesar di negara ini iaitu Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Dua militan terbabit ialah warga Malaysia Zulkifli Hir yang diburu Amerika Syarikat dan Abdul Basit Usman.

Zulkifli dikatakan mungkin terbunuh dalam pertempuran itu tetapi Usman melarikan diri.

MILF yang sudah lama melancarkan perang selama lebih empat dekad di selatan negara yang majoritinya Kristian telah bersetuju di bawah perjanjian damai untuk membubarkan pasukan dan penyerahan senjata mereka dalam pertukaran untuk sebuah kerajaan autonomi. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:03 AM