BIRDMAN
EDDIE Redmayne dan Julianne Moore dinobatkan Pelakon Terbaik.
Susunan Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Tahun ini membawa tuah buat produksi filem Birdman apabila sekali lagi membawa pulang trofi Filem Terbaik pada Screen Actors Guild Awards yang berlangsung di Auditorium Shrine, Los Angeles kelmarin.

Dalam Golden Globe Awards lalu, filem ini dinobatkan sebagai Filem Terbaik manakala pelakonnya, Michael Keaton memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik.

Filem arahan Alejandro Gonzalez Inarritu itu menewaskan empat pesaing hebat iaitu Boyhood, The Grand Budapest Hotel, The Imitation Game dan The Theory of Everything.

Birdman mengisahkan seorang aktor bernama Riggan Thomson yang terkenal dengan lakonannya sebagai ikon adiwira.

Dia terpaksa mempertahankan ego demi mendapatkan kehidupan lebih baik dalam keluarga, kerjaya dan dirinya.

Sementara itu, Pelakon Lelaki Terbaik pula diunguli Eddie Redmayne menerusi lakonannya sebagai Stephen Hawking dalam filem The Theory of Everything.

Manakala lakonan hebat Julianne Moore sebagai pesakit alzheimer dalam filem Still Alice melayakkan dia sebagai Pelakon Wanita Terbaik.

Kedua-dua pelakon ini memenangi kategori yang sama di Golden Globe Awards lalu dan dilihat berpeluang untuk meraih kemenangan di Academy Awards pada 22 Februari depan.

Bagi kategori televisyen, produksi Netflix meraih tiga trofi iaitu Komedi Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik Siri Komedi (Uzo Aduba) bagi karya Orange is the New Black.

Satu lagi kemenangannya bagi drama House of Cards yang mengangkat Kevin Spacey sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama Siri.

Acara tahunan itu juga menyaksikan Downton Abbey diangkat sebagai Siri Drama Terbaik.

Selain itu, HBO meraih dua anugerah bagi siri pendek The Normal Heart dan Olive Kitteridge.

Siri The Normal Heart mengangkat Mark Ruffalo sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Siri Pendek Televisyen manakala Frances McDormand diangkat Pelakon Wanita Terbaik Siri Pendek Televisyen bagi Olive Kitteridge.

Senarai pemenang

FILEM

- Filem Terbaik : Birdman

- Pelakon Lelaki Terbaik : Eddie Redmayne (The Theory of Everything)

- Pelakon Wanita Terbaik : Julianne Moore (Still Alice)

- Pembantu Pelakon Lelaki Terbaik : J.K. Simmons (Whiplash)

- Pembantu Pelakon Wanita Terbaik : Patricia Arquette (Boyhood)

TELEVISYEN

- Siri Komedi Terbaik : Orange is the New Black

- Siri Drama Terbaik : Downton Abbey

- Pelakon Lelaki Terbaik Siri Pendek Televisyen : Mark Ruffalo (The Normal Heart)

- Pelakon Wanita Terbaik Siri Pendek Televisyen : Frances McDormand (Olive Kitteridge)

- Pelakon Lelaki Terbaik Siri Komedi : William H. Macy (Shameless)

- Pelakon Wanita Terbaik Siri Komedi : Uzo Aduba (Orange is the New Black)

- Pelakon Lelaki Terbaik Siri Drama : Kevin Spacey (House of Cards)

- Pelakon Wanita Terbaik Siri Drama : Viola Davis (How to Get Away With Murder)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:03 AM