LELA kembali ubat rindu peminat.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my

Lagu Bidadari pada awal 1990-an benar-benar menaikkan nama kumpulan Lela.

Namun, nasib tidak menyebelahi kumpulan ini apabila nama mereka terus tenggelam selepas itu.

Lama menghilang dan kembali pada 2000 lalu, kumpulan Lela tidak pernah mengenal erti serik untuk terus memperjuangkan muzik rock yang mereka bawa.

Meskipun penyanyi asalnya, Riffki sudah tidak lagi bersama tidak bermakna mereka akan terus menguburkan hasrat masing-masing yang mahu terus nama Lela mekar di hati peminat.

Yakin peminat masih ada dan berharap kumpulan ini kembali, Lela yang kini dianggotai oleh Ali selaku vokalis, Luth (gitar), Adeek (bass) dan Lan (drum) muncul dengan album baru berjudul Lela Realiti Dalam Mimpi.

"Walaupun lama menyepi bukan bermakna kami sudah tidak bermain muzik lagi. Biarpun masing-masing kini menetap di Melaka, kami masih aktif berkarya dan turut membuka studio sendiri.

"Saya sedar untuk menarik peminat generasi sekarang banyak perubahan dari segi muzik harus dilakukan.

"Justeru, sebagai memberi kelainan walaupun masih kekal dengan konsep rock, kami menekankan elemen moden di mana muzik rock kami lebih segar dan bertenaga seiring dengan keinginan pendengar masa kini," katanya.

Album yang mempertaruhkan empat lagu baru itu turut memuatkan lagu popular Lela antaranya Bidadari, Sampai Bila, Baizura dan Harapan di mana keseluruhan lagu yang terkandung ialah 14 lagu.

Mengulas mengenai kemunculan semula Lela pada 2000, Ali berkata, ramai peminat yang keliru dan menyangka vokalis mereka Riffki masih bersama.

"Ingin kami terangkan di sini bahawa Riffki sudah lama tidak bersama kami lagi. Kemunculan pada 2000 itu adalah inisiatif saya sendiri yang menjadi vokalis Lela menggantikan tempatnya.

"Apa yang saya lakukan bagi mengubat kerinduan peminat terhadap kumpulan ini. Walaupun tiada publisiti, kami masih aktif menyanyi di mana-mana majlis.

"Ramai juga peminat yang bertanyakan mengenai lagu baru daripada kami. Selepas lama tidak muncul kami kembali dengan empat single baru khas buat peminat setia Lela," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 5:00 AM