SERPIHAN pesawat diangkat ke atas kapal pada 10 Januari lalu. FOTO fail AFP

Selat Karimata: "Maaf, operasi mencari mayat mangsa dan badan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dihentikan bermula hari ini," kata Panglima Armada Tentera Republik Indonesia Barat Laksamana Widodo.

Menurut komandan pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) itu, permohonan maaf itu ditujukan kepada ahli keluarga mangsa selepas mereka terpaksa menghentikan operasi berkenaan.

Widodo berkata, pihaknya sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencari mayat dan badan pesawat dan hasil operasi ini juga sudah dilaporkan kepada Panglima Tentera Negara Indonesia (TNI) Jeneral Moeldoko.

"Pada masa ini, kita hanya menemui 70 daripada 162 mangsa. Ini adalah usaha terbaik yang kami mampu lakukan. Dua hari terakhir ini penyelam mencari di kawasan-kawasan yang belum pernah diperiksa sebelum ini," katanya.

Widodo berkata, Panglima TNI Jeneral Moeldoko memerintahkan supaya operasi dihentikan tetapi mereka sentiasa bersiap sedia untuk meneruskan operasi sekiranya diarahkan semula.

Menurutnya, semua aset yang berada di Selat Karimata di antaranya kapal KRI Banda Aceh, KRI ‎Yos Soedarso, KN Pacit , dan Kapal Crest Onyx diarahkan kembali ke Jakarta pada 2 petang waktu Indonesia Barat (3 petang waktu Malaysia).

Katanya, aset lain yang dikerah ke lokasi pencarian turut diarahkan kembali ke pangkalan masing-masing. - Detik News.com

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:53 PM