EMPAT pemain Pahang (dari kiri) Azamuddin Mohd Akil, Mohd Razman Roslan, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Mohd Hafiz Kamal bersama Mohd Shane di Majlis Pelancaran jersi baharu Pahang.
Oleh Asrol Awang
bisnes@hmetro.com.my

Kuantan: Syarikat pengedar barangan sukan terkenal, aL-ikhsaN Sports Sdn Bhd (aL-ikhsaN) akan memperluaskan jualan jersi baru skuad Liga Super Pahang ke Kuala Lumpur tidak lama lagi.

Pengurus Besarnya, Mohd Shane Mohd Isa berkata, sambutan hangat diterima daripada peminat terutama penyokong setia skuad Tok Gajah mendorong aL-ikhsaN menjual jersi Pahang di luar negeri ini.

Beliau berkata, setakat ini, jersi baru Pahang hanya dijual di sembilan cawangan aL-ikhsaN di negeri itu dan disebabkan pemintaan tinggi daripada peminat, ia akan dijual di Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, kita tidak sangka sambutan di luar dugaan diterima daripada peminat apabila 600 helai jersi baru Pahang ditempah walaupun ia belum dikeluarkan secara rasmi pada 24 Januari lalu.

“Ia membuktikan strategi pemasaran menerusi iklan berjaya menarik minat peminat untuk mendapatkan jersi ini walaupun tidak tahu reka bentuk baru,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru Pahang di aL-ikhsaN East Coast Mall, semalam.

Dalam majlis itu, empat pemain Pahang turut hadir iaitu kapten, Mohd Razman Roslan, penjaga gol, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid serta dua pemain tengah, Azamuddin Mohd Akil dan Mohd Hafiz Kamal.

Beliau berkata, syarikat itu memilih Pahang kerana percaya dengan kehebatan dan sokongan padu peminat yang dilihat antara pasukan memiliki peminat fanatik.

Katanya, peminat boleh mendapatkan jersi berkenaan yang dijual pada harga RM129 sama ada menempah di laman sesawang aL-ikhsaN iaitu www.al-ikhsan.com atau ke sembilan cawangannya di Pahang.

“Selain menjual jersi baru, kami juga menghasilkan jersi rekaan sendiri dan eksklusif dijual dengan harga berpatutan kepada pelanggan untuk mengelakkan pembeli mendapatkan jersi cetak rompak.

“Sebagai contoh, kita menghasilkan ‘special-edition’ jersi yang memaparkan logo tiga piala berjaya dirangkul pasukan Pahang dengan harga RM89 sehelai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 12:31 PM