Oleh Mohd Khidir Zakaria
am@hmetro.com.my

Port Dickson: Lelaki maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 32.7 Jalan Tanjung Agas, berhampiran Masjid Kariah Kampung Tanjung Agas, dekat sini, 7.15 pagi ini.

Kemalangan membabitkan kereta Suzuki Swift dinaiki mangsa, Azman Daud, 26, dengan Kia Spectra dinaiki lima sekeluarga.

Harian Metro difahamkan, Azman memandu sendirian dari Port Dickson ke Kuala Linggi dan sejurus tiba di lokasi kereta dipandunya terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Kia Spectra.

Kereta mangsa kemudiannya terhimpit ke bahu jalan dan bergesel dengan lori tangki yang diletakkan di bahu jalan.

Azman tersepit di tempat duduk dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang mengambil 10 minit untuk mengeluarkannya daripada kereta yang remuk.

Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

Sementara itu, lima mangsa yang menaiki Kia Spectra dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Panjang dan Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Baharudin Mustapha dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Oktober 2014 @ 5:18 PM