LELAKI Muslim tempatan menyorong basikalnya melepasi kereta perisai komando polis di Mamasapano, semalam.

Manila: Sekurang-kurangnya 49 anggota komando polis terbunuh ketika bertempur dengan kumpulan pemberontak Islam di selatan kelmarin.

Pertempuran selama 11 jam itu tercetus selepas polis memasuki bandar terpencil Mamasapano kira-kira jam 3 pagi tanpa memaklumkannya terlebih awal.

Ia dianggap melanggar perjanjian gencatan senjata dicapai kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) sebelum ini.

Jurucakap polis berkata, mayat 49 anggota polis terbabit sudah dipindahkan ke kem tentera.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan jumlah kematian di pihak MILF.

Jurucakap itu berkata, polis memburu dua suspek pengganas berprofil tinggi dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, perunding damai MILF, Mohagher Iqbal berkata, perkembangan terbaru itu akan memberi kesan besar terhadap proses keamanan di selatan Filipina.

“Pihak berkuasa memburu pemimpin Jemaah Islamiah serantau, Zulkifli Hir, yang dikehendaki Amerika Syarikat,” katanya.

Zulkifli adalah warga Malaysia yang diburu pihak berkuasa AS dengan janji habuan sebanyak AS$5 juta (RM18 juta).

Dia yang juga dikenali dengan nama Marwan adalah pakar membuat bom untuk kumpulan militan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:06 AM