Oleh Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my

Walaupun sudah mengerjakan haji pada September tahun lalu, pelakon Adi Putra, 34, mencetus kontroversi apabila enggan membataskan lakonan walaupun ditawarkan babak panas di ranjang.

Adi Putra berkata, dia tidak berniat mahu mencetus kontroversi sebaliknya mendakwa kenyataannya itu disensasikan segelintir pihak.

"Sebagai pelakon saya hanya mengikut tuntutan watak dalam lakonan. Mungkin artis lain memilih untuk membataskan watak selepas menunaikan haji dan umrah, tetapi bagi saya ia terpulang kepada individu itu sendiri.

"Saya tidak mahu cepat melatah dalam hal ini. Periuk nasi saya dalam bidang lakonan dan apa yang dilakukan juga atas dasar kerja serta untuk menghidupkan watak semata-mata," kata pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera ini.

Adi Putra yang pernah menunaikan ibadah umrah beberapa kali sebelum ini menegaskan, selalunya babak panas dilakonkan bukan di tempat tertutup sebaliknya di hadapan pengarah dan beberapa kru di lokasi penggambaran.

"Babak panas dilakonkan juga tidak semestinya bersentuhan sebaliknya lebih banyak menggunakan teknik kamera saja," katanya.

Pada masa sama, Adi juga merancang menunaikan haji buat kali kedua tidak lama lagi.

"Kali ini, saya merancang mengerjakan Rukun Islam kelima ini bersama isteri (Aida Yusof) pula," katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon ini juga sibuk menguruskan perniagaan agensi umrah miliknya iaitu Menara Hadid Holiday dan Menara Rezki yang beroperasi sejak awal tahun lalu.

Menara Hadid adalah agensi umrah membabitkan dua kali penerbangan dalam sebulan, manakala Menara Rezki membabitkan syarikat operasi dan pengurusan di Arab Saudi yang menguruskan hal berkaitan umrah.

Selain itu, dia juga terbabit dalam perniagaan jubah, kurta dan sampul duit raya.

Watak Syed Iqbal dalam Zahira beri impak pada penonton.

Selepas kontroversi kes skandalnya dengan wanita berstatus isteri orang reda, nama Adi Putra kembali meniti di bibir peminat menerusi lakonan mantapnya dalam drama bersiri 15 episod, Zahira yang bersiaran di Slot Samarinda TV3.

Bergandingan dengan Zara Zya, Adi memegang watak Syed Iqbal dalam cerita garapan Khalid Nadzri ini.

Ternyata, gandingan mereka mencetuskan fenomena tersendiri sekali gus berjaya meraih rating 2.5 juta penonton.

"Alhamdulillah, drama ini mendapat sambutan hangat daripada penonton dan ia juga adalah 'comeback' di televisyen selepas kes saya yang mencetuskan kontroversi dulu selesai. Saya percaya rezeki dalam lakonan dan Allah SWT juga makbulkan doa orang yang teraniaya," katanya.

Adi ditemui di majlis tayangan episod akhir drama bersiri Zahira terbitan Excellent Pictures yang berlangsung di Bandar Utama, Damansara di sini, baru-baru ini.

Ia membabitkan kolaborasi 80 ahli kelab peminat Adi Putra dan Zara Zya iaitu Adp1Hotlovers dan LovezarazyaFC.

Selain drama, Adi turut mempertaruhkan filem terbaru lakonannya berjudul Isyarat Cinta bergandingan dengan Liyana Jasmay dan Fizo Omar. Filem Isyarat Cinta terbitan RK Screen bakal ditayangkan di pawagam seluruh tanah air bermula 19 Mac depan.

Manakala tayangan amal anjuran bersama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) untuk disalurkan kepada mangsa banjir akan dilakukan pada 4 Mac nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:03 AM